SEGERAKAN BUKA DEWAN PARLIMEN
SEGERAKAN BUKA DEWAN PARLIMEN
KUALA LUMPUR: Pembangkang menggesa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin supaya semua tindakan kerajaan membendung penularan COVID-19 dapat dibahaskan dan masalah rakyat terutama sepanjang tempoh pelaksanaan sekatan pergerakan penuh dapat disuarakan.
Mereka mendakwa, cadangan mengadakan sidang Parlimen secara dalam talian pernah dinyatakan kerajaan sebelum ini, namun tiada tindakan susulan dan kelmarin, cadangan itu sekali lagi dinyatakan untuk diadakan secara hibrid.
Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, berkata sidang Parlimen lebih baik diadakan secara fizikal sepenuhnya kerana semua Ahli Parlimen sudah menerima dua dos vaksin.
“Bagi mengelak kehadiran yang ramai di Parlimen, pegawai kepada menteri boleh membantu di pejabat menteri di Putrajaya.
“Alasan kerajaan untuk tidak mengadakan sidang Parlimen bagi mengelak jangkitan COVID-19 adalah tidak munasabah kerana Ahli Parlimen adalah satu-satunya warga institusi yang sudah menerima vaksin sepenuhnya.
“Jika warga mahkamah dan sekolah yang tidak sepenuhnya menerima vaksin lagi boleh dibuka, kenapa tidak Parlimen,” kata pemimpin DAP itu kepada BH, hari ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan, kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan pandemik COVID-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat.
Hannah berkata, persidangan Parlimen secara fizikal itu juga akan memberi keyakinan kepada rakyat mengenai keberkesanan vaksin, lapor BH ONLINE.
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata beliau hanya berharap sidang Parlimen dapat diadakan segera walau dalam apa cara sekali pun.
“Lebih baik ada sidang dalam apa juga bentuk, daripada tidak ada sidang langsung,” katanya.
Beliau berkata, Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan harus menjadi peringatan yang Jemaah Menteri perlu bertanggungjawab secara bersama kepada Parlimen.