LEMAS KETIKA BERKAYAK
LEMAS KETIKA BERKAYAK
LELAKI ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti berkayak di Sungai Ulu Geruntum. FOTO ihsan bomba
Kampar: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika melakukan aktiviti berkayak di Sungai Ulu Geruntum, Gopeng, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, mangsa berusia 20 tahun ditemukan berhampiran Resort River Bug oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi pencarian pada jam 5.40 petang.
Katanya, polis menerima maklumat daripada orang awam memaklumkan seorang lelaki terjatuh dan disyaki lemas sebelum anggota ke lokasi menjalankan siasatan.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku ketika arus air agak deras, mangsa dan saksi mula menaiki kayak secara individu di Resort Hijauan pada jam 2.40 petang.
“Ketika melalui selekoh sungai berhampiran Resort Kuala Razila, kayak mangsa tidak dapat dikawal lalu terbalik dibawa arus. Mangsa dihanyutkan air sehingga ke River Bug Resort di Sungai Jahang kira-kira satu kilometer dari tempat kejadian,” katanya.
Hasron Nazri berkata, mangsa berkerja sebagai River Guard di Sungai Ulu Geruntum hampir dua tahun serta tidak terikat dengan mana-mana agensi pelancongan.
“Semasa kejadian dimaklumkan mangsa bersama saksi sedang membuat aktiviti kayak secara persendirian untuk memantau kederasan air sungai di sekitar kawasan Sungai Ulu Geruntum.
“Semasa sedang membuat pemantauan secara tiba-tiba kayak yang dinaiki mangsa terbalik dan dihanyutkan arus, ketika kejadian saksi cuba membantu menarik mangsa tetapi tidak berjaya kerana arus sangat deras,” katanya.
Katanya, kes diklasifikasikan kematian secara mengejut dan mayat mangsa di bawa ke Unit Forensik Hospital Kampar untuk tindakan lanjut, lapor KOSMO online.
“Proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diketahui,” katanya.