AMBIL DAN BAYAR IKUT KEMAMPUAN
AMBIL DAN BAYAR IKUT KEMAMPUAN
JERANTUT: Ambil dan bawa pulang, itu ada inisiatif dan usaha terakhir oleh beberapa pekebun buah tembikai di Kampung Besul, Jerantut agar hasil tanaman yang diusahakannya tidak dibiarkan buruk begitu saja.
Susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 10 Mei lalu dan peningkatan penularan Covid-19 di lokaliti berkenaan, buah itu tidak dapat dipasarkan sepenuhnya.
Menurut pekebun, Asri Yaakob, 50 tahun, terdapat pekebun yang telah berputus asa dan hanya membiarkan hasil tanaman terbiar begitu sahaja.
ASRI YAAKOB
Ini kerana, ketika dalam tempoh PKP bermula awal tahun ini, penuaian tembikai menunjukkan hasil yang memberangsangkan namun penjualan terpaksa dihadkan .
“Kami yang menanam tidak mendapat pulangan hasil, selalunya tiap-tiap tahun itu dapat hasil daripada jualan buah tembikai, nak sambut raya pun dapat duit raya sikit-sikit dari hasil tanaman ini, tapi tahun ini disebebkan PKP, tak lepas nak jual jadi hasil tanaman ini tak lepas ke mana, jadi kami melepek je ni jadi banyak tanaman yang ditanam ini tinggal begitu saja, ” katanya.
KEBUN TEMBIKAI DIUSAHAKAN ASRI
Tambahnya, sebahagian daripada lapan pekebun di kampung itu masih lagi menjalankan perniagaan kecil-kecilan namun peningkatan kes Covid-19 membuatkan mereka juga mengehadkan pergerakan.
Walaupun kerugian, namun rata-rata pekebun berlapang dada dengan perkara yang terjadi dan mengharapkan ada pihak yang sudi mengambilnya agar tidak terbiar begitu saja.
TEMBIKAI YANG SUDAH MASAK
Setakat ini, kira-kira 20 tan tembikai dibiarkan di kebun ekoran hasil yang dikutip sebelumnya masih lagi tidak terjual sepenuhnya. – SAHIH