KERETA MELETUP : ‘KAMI BAKAL BERPINDAH KE RUMAH BAHARU
KERETA MELETUP : ‘KAMI BAKAL BERPINDAH KE RUMAH BAHARU
Kota Bharu: “Sebaik tahu kejadian ini tular, anak kedua saya datang ke lokasi kejadian melihat sendiri keadaan berlaku kerana kami dikhabarkan kereta Proton Iswara Aeroback yang terbabit dan risau ia milik suami,” kata Faridah Hussin, 49.
Dia adalah isteri kepada Wan Hassan Wan Ali, 49, yang maut dalam kejadian kereta meletup di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh di sini, hari ini.
Menurutnya, anaknya pulang dan dengan yakin beritahu bahawa ia bukan kereta milik arwah namun anak sulung saya, Wan Nur Hidayah, 22, sekali lagi ke lokasi sebelum mengesahkan ia adalah kenderaan ayahnya memandangkan dia lebih biasa dengannya.
Dia yang masih dalam keadaan terkejut, memberitahu kali terakhir berjumpa suami pada 4 petang ketika mangsa menghantarnya ke rumah saudaranya di Kampung Tanjung Chat di sini, dan berlalu pergi tanpa sebarang perlakuan yang mencurigakan.
“Sebaik diberitahu, ia (kejadian itu) membabitkan suami, saya terus ke lokasi kejadian dan badan saya bagaikan kaku seketika apabila dia dalam keadaan yang sudah tidak sempurna susulan letupan terbabit, lapor HM online
“Hanya tuhan yang tahu betapa luluhnya hati saya. Kami sekeluarga tidak berganjak ke tempat lain dan hanya berkumpul di lokasi kejadian sehingga jenazah suami dibawa ke hospital sambil membaca ayat suci al-Quran sebagai satu-satunya cara untuk tenangkan kami.
“Sekarang kami serah sahaja kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas mereka dan Insya-Allah…jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sireh selepas semua urusan selesai,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Faridah berkata, sudah menjadi rutin suaminya berulang-alik di jalan berkenaan dari Kampung Sireh ke Kampung Kota di sini, memandangkan kami akan berpindah ke rumah baharu tidak lama lagi.
“Bagaimanapun, keterujaan untuk pindah ke rumah baharu kini sudah tiada dengan apa yang terjadi hari ini, saya reda namun pasti mengambil masa untuk membiasakan diri tanpa dia di sisi.
“Insya-Allah, saya cuba kuatkan diri bersama tiga anak berusia 19 hingga 22 tahun,” katanya.