PENCEMARAN KIMIA , PENDUDUK SENAWANG PENING MUNTAH
PENCEMARAN KIMIA , PENDUDUK SENAWANG PENING MUNTAH
Seremban: Penduduk sekitar Senawang di sini, panik susulan bau pencemaran toksid kesan tumpahan bahan kimia daripada sebuah kilang plastik di Senawang di sini.
Dalam kejadian jam 11 pagi tadi, kerosakan injap tangki simpanan bersaiz 25,000 liter mengandungi bahan kimia Methyl Mathacrylate dalam kilang itu itu didakwa menjadi punca pencemaran hingga menyebabkan penduduk pening dan muntah.
Susulan itu pihak Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JAS) Negeri Sembilan menjalankan siasatan berikutan bimbang kesan pencemaran bau kepada penduduk sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, sampel bahan kimia itu sudah diambil dan laporan berhubung kejadian itu akan dikemukakan, selepas siasatan lanjut dijalankan JAS negeri dalam waktu terdekat.
“Laporan awal mendapati terdapat kerosakan injap tangki simpanan mengandungi bahan kimia Methyl Mathacrylate dalam kilang itu.
“Bahan tumpahan dianggarkan sebanyak 500 mililiter mengalir masuk ke longkang kilang, seterusnya mengalir ke longkang awam sejauh 3 kilometer. Buangan tumpahan dalam longkang berwarna putih dan berbuih dan mempunyai kepekatan pH 4,” katanya, lapor HM online.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seremban Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai bau kurang menyenangkan di kawasan berkenaan jam 12.55 tengah hari tadi.
Katanya siasatan awal mendapati, berlaku kebocoran semasa pemindahan bahan asid berkenaan dari tangki besar dan terdapat kerosakan pada pam sehingga mengakibatkan bahan kimia itu tidak dapat dikawal, dan melimpah keluar dan memasuki longkang.
“Tindakan awal dilakukan pihak kilang segera tutup suis kuasa tangki simpanan dan menggunakan bahan penyerap, bagaimanapun injap paip tangki rosak, dan bahan kimia terus mengalir keluar dan memasuki longkang,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pasukan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) bomba sedang bekerjasama dengan JAS serta syarikat air negeri, bagi mengenal pasti jumlah sebenar bahan kimia terbabit yang tumpah, dan memastikan sisa kimia itu tidak memasuki sungai.
Menurutnya, jumlah perumahan yang terjejas susulan insiden belum dapat dipastikan, namun laporan awal diterima mendapati bahan kimia sudah memasuki saluran longkang di Taman Tuanku Jaafar, di sini.