KOMPAUN TERUS PADA VVIP DAN SELEBRITI LANGGAR SOP
KOMPAUN TERUS PADA VVIP DAN SELEBRITI LANGGAR SOP
PUTRAJAYA: Polis perlu mengeluarkan kompaun serta-merta terhadap mana-mana individu termasuk orang kenamaan seperti selebriti dan ahli politik yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu bagi mengelakkan salah faham dalam kalangan rakyat yang kerajaan seolah-olah memberi layanan istimewa kepada golongan berkenaan.
“Disebabkan banyak isu berkaitan seolah-olah ada perbezaan antara golongan ‘kayangan’ dengan rakyat biasa dan walaupun ada tindakan dilaksanakan kepada mereka dianggap ‘kayangan’ serta dikenakan kompaun, namun ia tidak dilakukan ‘on the spot’ (serta-merta).
“Kita berpandangan sesiapa saja terutama membabitkan VIP seperti selebriti dan ahli politik, jika ada pelanggaran SOP, polis perlu keluarkan kompaun terus, tidak perlu tunggu sehingga berminggu-minggu untuk mendapatkan keputusan Jabatan Peguam Negara dan sebagainya kerana dalam akta, mereka boleh mengeluarkan kompaun di lapangan,” katanya.
Gambar Hiasan
Beliau berkata demikian selepas sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di sini, hari ini.
Ismail Sabri berkata, tiada individu sama ada yang berstatus kenamaan mahu pun rakyat yang kebal daripada tindakan undang-undang.
Mengulas tindakan untuk menutup sektor perkilangan, beliau berkata, kerajaan sedang melaksanakan penambahbaikan dari segi penilaian untuk mengesan kilang yang melanggar SOP, lapor BH ONLINE.
Katanya, setakat ini sejumlah 70 kilang diarah tutup kerana didapati melanggar SOP dan perintah dikeluarkan.