KANAK-KANAK CEDERA TERKENA PERCIKAN API MERCUN ROKET
KANAK-KANAK CEDERA TERKENA PERCIKAN API MERCUN ROKET
YAN, KEDAH: Seorang kanak-kanak lelaki cedera di bahagian muka dan tangan akibat disambar api ketika bermain mercun roket dalam kejadian di Kampung Kuala Sungai Yan, di sini, Khamis lalu.
Kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu berlaku ketika Muhammad Indera Syafiq Ariffin, 9, bermain bunga api dan mercun bersama tiga rakannya.
Menurut Muhammad Indera, kejadian berlaku ketika dia bermain mercun di hadapan rumahnya.
“Sebelum itu kami hanya bermain bunga api dan mercun bola sebelum seorang kawan mengeluarkan mercun roket ‘thunder clap’ untuk dibakar.
“Saya yang tidak pernah bermain mercun itu teruja melihatnya dan meminta mencubanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Katanya, mercun yang dipegang di tangan kanannya itu kemudian dibakar dan dihalakan ke atas.
“Sebaik sahaja sumbu mercun itu terbakar, kawan-kawan saya menjerit meminta saya melepaskannya.
“Saya bagaimanapun tidak melepaskannya kerana rasa teruja kerana kali pertama bermain mercun jenis itu sebelum tiba-tiba api daripada mercun berkenaan terus menyambar muka dan tangan saya,” katanya, lapor Utusan Online.
Tambahnya, penglihatannya mula kabur dan dia tidak dapat membuka mata serta berasa sakit pada muka dan tangan sebelum dibawa ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan.
“Saya dah serik, nasib baik mata saya tidak buta,” katanya.