SOLAT SUNAT AIDIL FITRI DI MASJID DIBENARKAN DENGAN SOP
SOLAT SUNAT AIDIL FITRI DI MASJID DIBENARKAN DENGAN SOP
KUANTAN: Umat Islam di seluruh negeri ini boleh menunaikan solat sunat sempena Hari Raya Aidil Fitri dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengambil tanggungjawab membantu usaha untuk memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19 yang kembali menular semula di negeri Pahang.
Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Dr Zulkifle Ali Al-Hafiz berkata, solat sunat Aidil Fitri bakal bermula dengan takbir hari raya di masjid atau surau, selain itu, solat sunat dibenarkan dan perlu tamat pada jam 09.30 pagi.
Katanya, setiap jemaah hendaklah hadir solat sunat di masjid atau surau di dalam kariah, lokasi dan lokaliti masing-masing dengan jumlah jemaah adalah dihadkan seramai 50 orang di masjid dan 20 orang sahaja di surau serta jemaah ditentukan secara jemputan oleh pihak pentadbiran masjid atau surau.
“Pintu pagar ditutup selepas semua jemaah ditetapkan telah hadir dan pihak masjid dan surau bertanggungjawab memastikan SOP sentiasa dipatuhi, manakala solat sunat Aidilfitri di rumah dibenarkan melibatkan seisi rumah sahaja dan teks khutbah Hari Raya boleh dimuat turun melalui capaian sesawang www.mufti.pahang.gov.my
“Selain itu, takbir raya dari rumah ke rumah, ziarah tanah perkuburan, ziarah hari raya, program ziarah Hari Raya Aidil Fitri dari rumah ke rumah tidak dibenarkan,”katanya melalui kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, jemaah kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan warga emas berumur 75 tahun ke atas tidak dibenarkan serta aktiviti berkumpul sebelum dan selepas solat dilarang.
“Penguatkuasaan, pemantauan dan pembatalan serta penarikan kebenaran pelaksanaan aktiviti di masjid dan surau akan dilaksanakan sekiranya gagal mematuhi SOP.
“Pemantauan secara mengejut akan dilakukan bila-bila masa oleh pasukan pemantau pematuhan SOP, diharap umat Islam di negeri ini mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.-SAHIH