SEMUA BEKALAN RAYA AIDILFITRI CUKUP
SEMUA BEKALAN RAYA AIDILFITRI CUKUP
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menyediakan 197 tan bekalan ayam dan daging, selain 4.5 juta biji kelapa khususnya melalui premis jualan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sempena Aidilfitri ini.
Menterinya, Dr Ronald Kiandee, berkata pihaknya memberi jaminan bekalan keperluan musim perayaan khususnya ayam dan kelapa yang dibekalkan melalui outlet pemasaran FAMA bagi sambutan Aidilfitri adalah mencukupi.
Beliau berkata, 85 Pasar Tani Khas FAMA dibuka di seluruh negara bagi membekalkan barangan segar sempena sambutan Aidilfitri, Khamis ini.
“Jangkaan kuantiti bekalan ayam dan daging di Pasar Tani Khas kali ini sebanyak 197 tan iaitu 131 tan ayam dan 66 tan daging.
“Untuk komoditi seperti ikan, buah-buahan dan sayuran di Pasar Tani Khas Aidilfitri ini juga adalah mencukupi.
“Bagi segmen komoditi kelapa, jangkaan import bagi 2021 meningkat kepada 67 peratus iaitu 18 juta biji berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 12 juta biji.
“Sehingga April lalu, sebanyak 4.5 juta biji diimport FAMA Corporation Sdn Bhd (FAMACorp) bagi tujuan ini dan antara akses pasaran kelapa ini adalah semua outlet FAMA dan outlet pemasaran lain di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada masa sama, Ronald berkata, outlet pemasaran yang terbabit dalam program Pasar Tani Khas ini ialah 59 Pasar Tani, 23 Pasar Tani Kekal dan tiga MyFarm Outlet yang dibuka hingga Rabu ini, lapor BH Online.
Beliau berkata, keputusan kerajaan memberi kebenaran operasi kepada outlet pemasaran FAMA seperti Pasar Tani Khas ini bagi memastikan pengguna dapat terus mendapatkan bekalan barangan segar sempena Aidilfitri.
“Selain barangan segar seperti daging, ayam dan sayuran, pengguna juga berpeluang mendapatkan bekalan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, lemang dan kuih-muih untuk keperluan hari raya,” katanya.
Ronald berkata, konsep Pasar Tani Khas ini juga memberi peluang usahawan memasarkan hasil pertanian mereka ketika musim sambutan Aidilfitri yang mendapat permintaan tinggi pengunjung.
Katanya, FAMA juga akan terus memastikan setiap outlet pemasarannya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19.
“Sehingga April lalu, sebanyak 307 pasar tani aktif beroperasi membabitkan 12,843 usahawan di seluruh negara dan mencatatkan nilai jualan dari Januari hingga April sebanyak kira-kira RM87.5 juta.
“Secara keseluruhan, usahawan pasar tani menggunakan perkhidmatan transaksi tanpa tunai seperti penggunaan Maybank QR-Pay, Touch n Go, Grab Pay dan Boost dalam urusan jual beli,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak 30 peratus iaitu 90 daripada 302 lokasi pasar tani membabitkan 61 peratus atau 9,098 orang daripada 12,843 usahawan menggunakan perkhidmatan ini.