WASPADA APLIKASI MYBNM PALSU
WASPADA APLIKASI MYBNM PALSU
KUALA LUMPUR: Orang ramai diingatkan tidak terpedaya dengan sindiket penipuan menggunakan aplikasi MyBNM yang pernah disediakan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ditamatkan tahun lalu.
Aplikasi itu adalah kemudahan dalam talian disediakan BNM bermula November 2015 sebelum ditamatkan pada November 2020, manakala pengumuman mengenai penamatannya pernah dikeluarkan pihak BNM.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata siasatan polis mendapati sindiket menggunakan aplikasi itu sebagai umpan menipu mangsa.
“Mangsa akan dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasaan termasuk BNM sebelum diminta memuat turun aplikasi MyBNM palsu.
“Menerusi aplikasi ini, mangsa diminta memasukkan maklumat seperti nama, nombor kad ATM, nombor pin ATM, nama pengguna dan kata laluan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selepas maklumat diperoleh, katanya, sindiket akan membuat pemindahan wang dari akaun mangsa ke akaun pihak ketiga (keldai akaun).
Beliau berkata, mangsa hanya akan menyedari dirinya ditipu selepas mendapati wang di dalam akaun berkurangan, lapor BH ONLINE.
“Berdasarkan rekod sepanjang 2020, sejumlah 53 kes dilaporkan dengan kerugian RM1,190,294.80.
“Bagi tempoh Januari hingga April lalu, bilangan kes dicatatkan meningkat kepada 57 kes membabitkan kerugian RM1,740,731.56.
“Bagi menangani masalah ini, tindakan pembanterasan dan pencegahan membabitkan kerjasama antara polis dan kesedaran masyarakat perlu dilaksanakan secara berkesan.
“JSJK komited untuk melipat gandakan usaha terutama aspek siasatan dan operasi, manakala di pihak masyarakat merangkumi pencegahan jenayah,” katanya.