KANAK-KANAK DIKHUATIRI LEMAS TERJATUH DALAM LONGKANG
KANAK-KANAK DIKHUATIRI LEMAS TERJATUH DALAM LONGKANG
SEREMBAN – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Flat Cempaka di Seremban 2 di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa, Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly dikatakan tergelincir ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras ketika bermain dengan seorang abangnya berusia sembilan tahun dan seorang kawan berusia 12 tahun.
“Seramai 10 anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan. Operasi dibantu pasukan bomba dengan kekuatan seramai 14 anggota serta sembilan unit skuba.
“Ketika kejadian, kawasan ini hujan lebat. Operasi pencarian masih dilakukan dari lokasi mangsa terjatuh sehingga ke Taman Arowana,” katanya.
Menurutnya, setakat ini mangsa masih belum dijumpai dan tiada sebarang petunjuk.
Berdasarkan penilaian dari pihak bomba, katanya, laluan air dari lokasi mangsa terjatuh akan terus ke Mambau, lapor HM online.
“Kita akan teruskan operasi pencarian mangsa dan dijangka sehingga esok (Ahad),” katanya.