NELAYAN HILANG SELEPAS DIPANAH PETIR
NELAYAN HILANG SELEPAS DIPANAH PETIR
Sungai Petani: Seorang nelayan terselamat, seorang lagi masih hilang di laut selepas dipanah petir ketika keluar menangkap ikan di Jeti Batu Lintang, Tikam Batu, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.17 pagi tadi.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu yang diketuai Muhamad Rudzuan Hussain tiba di lokasi pada 5.56 pagi.
“Setibanya di lokasi didapati terdapat seorang mangsa iaitu nelayan, Sobri Hussain, 34, terselamat ketika cuba menyelamatkan rakannya yang dipanah petir dan terjatuh ke dalam laut.
“Mangsa diselamatkan oleh nelayan tempatan dibawa ke Jeti Batu Lintang, di sini.
“Bagaimanapun identiti rakannya yang masih hilang belum diperolehi setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohamadul Ehsan berkata, Ketua Balai BBP Tikam Batu, Muhammad Syukri Hashim sudah berada di Jeti Batu Arang untuk tujuan penurunan bot dan seterusnya akan membuat pemantauan di lokasi bot jatuh.
Beliau berkata, jarak lokasi mangsa jatuh adalah di dua batu nautika dan di kawasan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan APMM memohon bantuan pihak bomba untuk melakukan pemantauan di lokasi berkenaan dan keadaan laut didapati tentang, lapor HM online.
“Mangsa yang selamat kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani dengan menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut.
“Operasi pencarian mangsa masih berjalan membabitkan bomba dan APMM serta dibantu nelayan tempatan,” katanya.
Mohamadul Ehsan berkata, operasi disertai sembilan anggota dari BBP Tikam Batu dan dua jentera,” katanya.