TANJUNG SABTU CANTIK TAPI TERBIAR
TANJUNG SABTU CANTIK TAPI TERBIAR
TERENGGANU. – Itulah kata-kata yang akan terdetik di hati sesiapa sahaja yang berkunjung ke Pura Tanjung Sabtu yang terletak di Kampung Tanjung Sabtu di Manir, kira-kira 14 kilometer, dari Kuala Terengganu.
Jika dilihat dari luar Pura (bahasa Sanskrit bermaksud istana) Tanjung Sabtu kelihatan seperti istana lama yang sangat besar dan cantik.
Namun apabila memasuki rumah tersebut dapat dilihat sesetengah bahagian lantainya diselaputi lumut dan bersepah.
Turut dikenali sebagai Tujuh Rumah Putera, Pura Tanjung Sabtu merupakan gabungan tujuh rumah kayu tradisional Terengganu di kawasan tanah pusaka seluas 5.66 hektar berdekatan dengan tebing Sungai Nerus.
Ada juga yang mendakwa salah sebuah rumah di situ merupakan istana lama.
Rumah-rumah tradisional di Pura Tanjung Sabtu yang antaranya dinamakan Rumah Seberang Baroh, Rumah Rhu Rendang, Rumah Kuala Ibai dan Rumah Atas Tol berusia antara 100 hingga 200 tahun, katanya.
Rumah-rumah tersebut dinamakan oleh Tengku Ismail mengikut tempat asal rumah itu diambil atau dibelinya.
Menariknya, semua rumah tersebut dibina tanpa menggunakan paku, sebaliknya, berkonsepkan tanggam dan pasak.
Malah, katanya, Allahyarham Tengku Ismail turut menjalankan perusahaan songket di salah sebuah rumah di Pura Tanjung Sabtu dengan songket yang dihasilkan menerima permintaan tinggi termasuk dari luar negara.
Namun, selepas Allahyarham Tengku Ismail, yang juga digelar ‘Putera Songket’ mangkat pada 2011, tiada siapa lagi yang menguruskan Pura Tanjung Sabtu sehingga ia terbiar usang seperti sekarang.
Sejak ia dibersihkan, katanya, kawasan tersebut turut menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pengunjung dari luar Terengganu untuk melihat dan mengambil gambar keunikan dan kecantikan seni binaannya.
Apatah lagi katanya, terdapat beberapa penulis blog, portal dan ‘vlogger’ yang menulis serta menjalankan penggambaran di kawasan itu menyebabkan Pura Tanjung Sabtu kembali terkenal dalam kalangan orang ramai.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Berdekatan dengan kawasan ini ada satu lubuk yang dikenali sebagai Lubuk Aji, orang-orang dahulu percaya lubuk tersebut ada penunggu dan Pura Tanjung Sabtu turut terkena tempiasnya apabila ramai yang mengaitkannya dengan perkara mistik.
“Namun setakat ini kami (penduduk kampung) tidak pernah menyaksikan sebarang perkara yang aneh di sini,” katanya.
Bagaimanapun, Md Fauzi (Pengerusi MPKK) melahirkan kerisauannya kerana keadaan rumah tersebut yang semakin usang dan terdapat bahagian rumah itu seperti tangga telah dicuri.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Kawasan ini berdekatan dengan sungai, jadi sesiapa sahaja boleh datang sama ada melalui jalan darat atau sungai untuk mengambil barang-barang seperti pasu bunga dan perabot. Kita (penduduk kampung) pun tidak tahu siapa yang keluar masuk ke kawasan ini,” katanya.
Justeru, pihaknya berharap supaya ada pihak termasuk kerajaan negeri yang sudi mengambil alih, menjaga dan menaikkan semula Pura Tanjung Sabtu sebagai lokasi pelancongan terkemuka seperti dahulu.
Jika tiada siapa yang menjaga tempat ini, warisan seni bina Melayu ini akan terbiar begitu sahaja. Hendak membaik pulih tempat ini mungkin memerlukan kos yang tinggi tetapi saya percaya sekiranya ia dibangunkan semula atau dijadikan seperti muzium, ia akan memberikan hasil.