GAGAL KOMUNIKASI, GAGAL DAPAT KERJA
GAGAL KOMUNIKASI, GAGAL DAPAT KERJA
BANDAR JENGKA: Kegagalan berkomunikasi dengan baik dan betul ketika menghadiri sesi temuduga dan gagal meyakinan majikan menyebabkan calon pencari kerja tidak berjaya melangkah ke alam pekerjaan.
Oleh itu Yayasan Juwita menganjurkan Program : “Excellent Communication and People Skills For Career Success” dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang mengadakan program kaedah berkomunikasi dengan betul kepada 330 pelajar dari Kampus Bandar Jengka dan Raub di Universiti Teknologi Mara (UITM), Kampus Jengka, hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, banyak kaedah untuk berkomunikasi, oleh itu program yang dianjurkan oleh Yayasan Juwita dapat menyuntik semangat untuk ingin tahu dan bersedia di kalangan pelajar apabila melangkah keluar mencari kerja dan berdepan dengan dunia pekerjaan.
“Calon kena tahu menggunakan laras bahasa yang bagus dan sesuai, ketrampilan yang meyakinkan, mempunyai yakin diri yang tinggi serta bersiap sedia apabila berdepan dengan penemuduga.
“Selain itu, setelah mendapat pekerjaan, komunikasi yang digunakan di kalangan rakan sejawat dan pegawai atasan perlu mudah difahami dan boleh menjadikan penanda aras untuk lebih maju kemudian,”katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program itu kepada media, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Yayasan Juwita, Datuk Rosni Zahari; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin dan Rektor UITM Kampus Jengka Profesor Dr. Ts. Mohd Idham Adenan.
Sementara itu, mengulas berkaitan peningkatan bilangan kes Covid-19 di Pahang, beliau memaklumkan kebanyakan kes yang berlaku bukan berasal daripada orang tempatan.
“Kebanyakan kes berlaku daripada orang luar yang masuk ke negeri ini seperti melancong, menjalankan tugas dan melawat keluarga dalam tempoh yang singkat dan tanpa disedari membawa virus sekali,”katanya.