PERBUATAN MENJURUS PERJUDIAN, HARAM – MUFTI WILAYAH
PERBUATAN MENJURUS PERJUDIAN, HARAM – MUFTI WILAYAH
PUTRAJAYA: Sebarang bentuk perbuatan yang menjurus kepada pertaruhan atau perjudian adalah haram mengikut ajaran Islam, kata Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah.
Susulan itu, beliau berkata, penularan video di laman sosial yang mengajak umat Islam berjudi pada Ramadan bagi memenuhi keperluan kewangan menjelang sambutan Aidilfitri ini jelas dilihat satu cubaan untuk menormalkan wasilah yang bercanggah dengan tuntutan syarak dalam ikhtiar mendapatkan keuntungan.
Katanya, matlamat untuk memperoleh kekayaan sama sekali tidak menghalalkan jalan seperti perjudian, tambahan pula umat Islam di Malaysia dilarang terbabit aktiviti perjudian seperti diwartakan dalam Seksyen 18, Akta 559, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.
“Isu penyiaran klip video ini secara tidak langsung membangkitkan sensitiviti dalam kalangan umat Islam dan pada masa sama, ia turut mencemarkan kemuliaan Ramadan yang penuh dengan keberkatan.
“Sepatutnya, semua pihak di negara ini perlu sentiasa menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan.
“Selain itu, semua yang terbabit dengan penyiaran klip video itu perlu segera bertaubat, memohon keampunan Allah SWT dan tidak mengulanginya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, tular di media sosial video lagu Aidilfitri diterbitkan syarikat judi berdurasi dua minit 48 saat memaparkan pelakon lelaki dan wanita berpakaian baju tradisional Melayu mengajak umat Islam berjudi untuk mendapatkan sumber kewangan bagi menyambut hari raya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula mengambil tindakan menyekat video iklan raya itu yang mempromosi kegiatan perjudian dalam talian dan menyinggung umat Islam daripada terus tersebar di media sosial.
SKMM dalam satu kenyataan, memaklumkan sudah berkomunikasi dengan pihak penyedia platform media seperti Facebook, Twitter, dan YouTube untuk menurunkan kandungan berkenaan.
Luqman berkata, Allah SWT berfirman dalam al-Quran pada ayat 90 surah Al-Baqarah, bahawa aktiviti seperti berjudi, bertaruh nasib, meminum arak dan memuja berhala antara bentuk perbuatan syaitan yang wajib dijauhi.
Katanya, Rasulullah SAW juga bersabda dalam hadis bahawa perkara yang halal dan haram itu jelas dan antara kedua itu perkara yang samar-samar (musytabihat) yang tidak diketahui kebanyakan orang, lapor BH ONLINE.
Susulan itu, beliau menasihati umat Islam di negara ini menjauhi sebarang bentuk perbuatan boleh mengundang kemurkaan Allah SWT.