BERBUKA SANTAI DI DATARAN MASJID
BERBUKA SANTAI DI DATARAN MASJID
KEPALA BATAS: Kebanyakan lokasi di seluruh negara kini menutup kawasan padang atau dataran dengan tidak membenarkan orang awam berbuka puasa bagi mencegah penularan wabak COVID-19 yang masih tinggi.
Namun berbeza pula di Masjid Abdullah Fahim, di sini apabila menganjurkan Program Santai Iftar Bebas COVID di luar dataran masjid dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).
Penyelaras program berkenaan, Mohd Raqib Ismail, berkata program berbuka di luar dataran masjid adalah kali pertama dilaksanakan berbanding sebelum itu yang mana jemaah berbuka di dalam masjid.
“Bagaimanapun, disebabkan penularan COVID-19 program berbuka di dalam masjid terpaksa dihentikan dan ditukar kepada iftar santai yang membolehkan seisi keluarga datang berbuka di luar dataran.
“Syaratnya mereka perlu membawa tikar atau alas sendiri dan mengambil tempat dengan menjaga jarak antara tikar keluarga lain serta mematuhi SOP ditetapkan,”katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Jelasnya, kakitangan dan sukarelawan masjid itu akan sentiasa membuat rondaan dalam memastikan arahan dipatuhi selain membuat hebahan bagi mengingati jemaah melalui pembesar suara.
Mohd Raqib berkata, walaupun baharu berlangsung selama empat hari, sambutan terhadap program berkenaan amat menggalakkan apabila pek juadah berbuka yang disediakan sentiasa habis.
“Kita menyediakan 600 pek juadah berbuka puasa kepada mereka yang hadir dalam program ini dan didapati makanan sentiasa habis. Kita merancang untuk menambah lagi pek juadah apabila jumlah kunjungan meningkat.
“Selain itu, kita turut menyediakan ruang meja dikenali ‘Potluck Souq Ramadan’ kepada mana-mana jemaah yang ingin berkongsi makanan yang dibawa kepada jemaah lain,” katanya
Sementara itu, pengunjung, Azhar Ahmad, 45, menyifatkan program yang dianjurkan Masjid Abdullah Fahim mengubati kerinduan jemaah untuk berbuka puasa secara beramai-ramai dalam keadaan suasana norma baharu, lapor BH ONLINE.
“Tahun lalu, sedih sangat apabila tidak berbuka puasa seperti ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi apabila adanya program seumpama ini ia mengubati rindu jemaah walaupun hanya dibuat di luar dataran masjid.
“Ia secara tidak langsung dapat mengimarahkan kawasan masjid dan perlu diteruskan,” katanya.
Difahamkan, selain iftar program berkenaan turut diisi dengan aktiviti keagamaan apabila ia dimulakan dengan bacaan tahlil dan tausiah selama 30 minit sebelum waktu berbuka.