SISTEM PEMBETUNGAN BERPUSAT DAPAT KAWAL PENCEMARAN AIR
SISTEM PEMBETUNGAN BERPUSAT DAPAT KAWAL PENCEMARAN AIR
JERANTUT: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyarankan setiap kawasan perindustian di negeri-negeri membina satu sistem pembetungan berpusat yang dapat mengawal sisa industri atau efluen dari kilang-kilang agar tidak terus mengalir ke sungai utama dan seterusnya ke laut.
Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, membina loji rawatan kumbahan berpusat penting dan memberi kesan terbaik dari sudut mengawal pencemaran air dan alam selain memelihara kelestarian alam sekitar.
“Sistem loji kumbahan itu, segala efluen atau sisa dari kawasan industri akan dirawat terlebih dahulu sebelum dilepaskan ke sungai atau tempat lain seterusnya dapat mengawal pencemaran daripada berlaku seperti kejadian pencemaran sebelum ini.
“Loji kumbahan ini juga memudahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan pemantauan sisa kumbahan yang dikeluarkan dari premis-premis industri di negeri masing-masing dengan mudah dan cepat,”katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Undi Perdana Kerja-Kerja Di Bawah Peruntukan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Pahang, 2021 di Dewan Majlis Daerah Jerantut, hari ini.
“Maknanya sistem kumbahan secara berpusat boleh kawal pencemaran dan tanggungjawab pengilang-pengilang terbabit, diharapkan negeri yang dalam perancangan untuk mengadakan zon kawasan industri terus mengambil mekanisme ini dalam pembangunan kawasan industri.
“Dengan cara begini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak perlu memantau kepada semua kilang, sistem pembetungan berpusat ini, efluen daripada industri ini lebih mudah dipelihara dan boleh mengawal pencemaran daripada satu-satu sumber sebelum dia terbuang ke sungai,” katanya.