PENGHUNI SANG RIANG TERIMA VAKSIN KHAMIS INI
PENGHUNI SANG RIANG TERIMA VAKSIN KHAMIS INI
BERA: Seramai 281 penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dijadualkan menerima dos vaksin COVID-19 mereka bermula Khamis ini.
Pengerusi rumah kebajikan itu, Yap Yoke Moey berkata, pihak pengurusan sudah dimaklumkan wakil Pejabat Kesihatan Daerah Bera hujung minggu lalu mengenai perkara itu.
PENGERUSI RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS SANG RIANG, YAP YOKE MOEY
“Pemberian dos pertama suntikan vaksin COVID-19 akan diadakan pada Khamis dan Jumaat ini dan penghuni akan dibahagikan kepada dua kumpulan sebelum menerima vaksin mereka.
“Kami sangat menghargai keprihatinan kerajaan negeri dan keputusan memberikan vaksin kepada kumpulan berisiko yang berada di Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang adalah sangat dihargai.
“Pihak pengurusan berharap tidak ada lagi laporan mengenai kes positif direkodkan di sini selepas proses pemberian vaksin selesai dilaksanakan,” katanya.
RUMAH KEBAJIKAN WARGA EMAS SANG RIANG
Yoke Moey turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua waris penghuni Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang yang terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan pihak pengurusan, terutamanya membabitkan urusan melawat penghuni bagi memastikan keselamatan penghuni terjamin.
Selain itu, kerajaan negeri juga mengambil langkah proaktif dengan menghantar wakil melawat rumah kebajikan berkenaan baru-baru ini bagi melihat sendiri langkah pematuhan SOP yang dilakukan pihak pengurusan Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang.