PUTERA PHILIP DIKEBUMI 17 APRIL
PUTERA PHILIP DIKEBUMI 17 APRIL
LONDON: Upacara pengebumian suami Ratu Elizabeth II, Putera Philip yang dijadualkan minggu depan akan berlangsung dengan kawalan ketat berikutan pandemik COVID-19 selain menyaksikan kepulangan Putera Harry.
Bagaimanapun, Istana Buckingham berkata, kepulangan Putera Britain itu, tanpa ditemani isterinya, Meghan Markle.
Pengumuman itu hadir selepas putera sulung Ratu dan pewaris takhta, Putera Charles memberi penghormatan selain menzahirkan perasaan rindu kepada ayahandanya yang dipanggil Papa.
“Ayahanda saya adalah individu sangat istimewa dan sudah pasti Papa akan tersentuh dengan reaksi dan kenyataan dibuat ramai orang terhadapnya dan kami sekeluarga amat berterima kasih di atas semua itu.
“Ia amat membantu kami dalam keadaan sangat menyedihkan ini,” katanya.
Putera Philip menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat, dua bulan sebelum menyambut ulang tahun kelahirannya ke-100.
Menurut jurucakap istana, tempoh berkabung ditetapkan selama lapan hari dan upacara pengebumian akan berlangsung di Gereja St George, Istana Windsor di barat London pada 17 April ini.
Kerajaan menetapkan peraturan ketat dengan hanya 30 individu saja dibenarkan memberi penghormatan terakhir pada upacara berkenaan, lapor AFP.
Sementara itu, pegawai istana mengesahkan Putera Harry akan menghadiri upacara berkenaan tanpa isterinya yang dinasihatkan tidak melakukan perjalanan dari Amerika Syarikat kerana sedang mengandung anak kedua mereka.
Malah, Perdana Menteri Boris Johnson tidak akan menghadiri upacara pengebumian disebabkan sekatan COVID-19.
“Perdana Menteri mahu memberi laluan kepada lebih ramai ahli keluarga diraja dan mengambil keputusan untuk tidak menghadiri upacara terbabit,” menurut jurucakap Downing Street.