MURID TAHUN 2 LEMAS TERGELINCIR DALAM SUNGAI
Berita Jenayah/Kemalangan
MURID TAHUN 2 LEMAS TERGELINCIR DALAM SUNGAI
KUALA NERUS: Seorang murid Tahun Dua ditemui lemas selepas dilaporkan hilang dipercayai akibat tergelincir ketika mandi di Sungai Terengganu sekitar Kampung Lembah Harapan, Seberang Takir, di sini, petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Yusmizan Yusof, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.35 petang sebelum sembilan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Ketika pihak bomba tiba di lokasi, mayat mangsa, Muhammad Adam Qayyum Ahmad Abdul Hadi, 8, sudah ditemui orang awam.
“Anggota bomba dan pihak kesihatan melakukan CPR sebelum mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai kesihatan.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Sementara itu, Ahmad Mizan Hashim, 29, yang menemui mangsa pula berkata beliau bersama tiga rakan terjun ke sungai untuk mencari kanak-kanak berkenaan selepas dimaklumkan kejadian yang menimpanya.
“Saya bertanya abang mangsa, kawasan mana adiknya lemas sebelum kami mula menyelam.
“Selepas beberapa kali menyelam, saya menemui mangsa pada kedalaman hampir satu meter dari permukaan sungai,” katanya.
Sumber: BERNAMA