JPJ SAHKAN 32 ANGGOTA DITAHAN KES RASUAH
JPJ SAHKAN 32 ANGGOTA DITAHAN KES RASUAH
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan penahanan 32 anggotanya kerana disyaki terbabit rasuah dalam Operasi Sukat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.
JPJ dalam kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan itu hasil kerjasama rapat antara pihaknya dan SPRM dalam usaha memastikan jabatan berkenaan sentiasa bersih daripada sebarang elemen salah guna kuasa serta gejala rasuah yang mengakibatkan ketirisan hasil negara.
“Pengurusan tertinggi JPJ berharap tindakan sebegini akan menjadi satu manifestasi jelas bahawa JPJ tidak berkompromi dengan sebarang kegiatan boleh menjejaskan reputasi dan nama baik JPJ berhubung aspek integriti.
“Inisiatif ini tidak akan berhasil jika tidak mendapat kerjasama padu daripada semua pihak terutama dalam kalangan warga kerja JPJ sendiri,” kata kenyataan itu, lapor Bernama.
Justeru, pengurusan tertinggi JPJ merakamkan penghargaan kepada warga kerja JPJ yang sentiasa istiqamah menegakkan aspek integriti dalam menjalankan tugasan rutin mereka.
Media hari ini melaporkan SPRM menahan 44 individu termasuk 32 pegawai JPJ, seorang anggota polis trafik dan seorang bekas anggota polis trafik disyaki terbabit melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan di beberapa negeri.
Operasi secara besar-besaran di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka itu kerana disyaki melindungi pemandu lori melakukan kesalahan seperti membawa muatan lebih serta tidak memenuhi aspek teknikal kenderaan.