MAYAT PENGUSAHA IKAN SANGKAR DITEMUI
MAYAT PENGUSAHA IKAN SANGKAR DITEMUI
JERANTUT: Pengusaha ikan sangkar yang dikhuatiri lemas semalam, dijumpai berdekatan titi sangkar ikannya di Kampung Lada, dekat sini, jam 3.16 petang tadi.
Mayat mangsa, Ariff Helmi Saharudin, 26 tahun, dari Kampung Pedah dipercayai terjatuh ketika memberi makan ikan di sangkarnya pada jam 11.00 malam semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Penolong Penguasa Bomba, Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal berkata, tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jerantut bersama enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air dari BBP Bukit Angin, Temerloh mengetuai operasi SAR sejak awal pagi dengan menggunakan sebuah bot.
“Mayat mangsa ditemui tidak jauh dari sangkar ikan miliknya pada jam 3.16 petang ini.. pagi tadi kami mencari di sekitar sangkar ikannya tetapi tidak ditemui.
“Selepas rehat, operasi SAR diteruskan pada jam 3.00 petang dan menjumpai mayat berdekatan dengan titi sangkar ikannya, mayat dihantar ke hospital Jerantut untuk bedah siasat, ” katanya.
Rakannya, Fauzi Dollah, 46, berkata, mangsa dipercayai tergelincir ke Sungai Pahang selepas mereka mengambil ikan patin dari sangkar sebelum memberi ikan makan.
Katanya, mereka berdua mengambil ikan di sangkar kira-kira jam 11 malam, mangsa menyuruh dia naik dengan membawa ikan yang ditangkap ke kenderaan yang terletak kira-kira 50 meter di atas tebing.
“Oleh sebab dia tidak naik-naik, saya turun semula ke tebing dan dapati mangsa sudah tidak ada di atas sangkar dan dipercayai terjatuh ke sungai, saya terus memberitahu orang kampung.
“Saya sangat terkejut, mangsa banyak kali mempelawa saya untuk pergi melihat sangkar ikannya, tetapi ini kali pertama saya menerima pelawaannya, tidak sangka pelawaan ini sebagai pelawaan terakhir buat saya daripada mangsa,”katanya.
Adiknya, Muhammad Haikal Saharudin, 21, berkata, dua tiga hari sebelum kejadian, abangnya seorang yang selalu riuh di rumah berubah menjadi agak pendiam dan juga tidak makan bersama di rumah.
“Abang ada menyatakan hasratnya kepada sesiapa yang hendak botnya, ambillah.. dah tak perlu lagi, malah turut berpesan agar simpan sedikit makanan yang dimasak emaknya,” katanya.
Sementara itu, ayah mangsa, Saharudin Ali, 68, bersyukur jasad anaknya ditemui berdekatan dengan sangkar miliknya dan reda dengan kejadian yang menimpa anak ketiga dari enam adik beradik itu.