SEDEKAH AL-FATIHAH JIKA SAYA ‘PERGI’
Berita Hiburan/Kehidupan
SEDEKAH AL-FATIHAH JIKA SAYA ‘PERGI’
BAGAN DATUK: Kalau sudah namanya seniman, dalam apa situasi sekalipun, kecintaan pada seni tidak pernah pudar.
Apatah lagi selepas lebih lima dekad berjuang di pentas menghiburkan masyarakat, rutin itu bagaikan terapi buat anak seni seperti seniman terbilang negara, Datuk M Daud Kilau.
Namun, kegemilangan dan kemasyhuran yang pernah dijulang beliau dahulu, kini semuanya bagaikan tiada erti lagi buatnya.
Sinonim dengan gelaran Raja Gelek Malaysia, kehidupan M Daud Kilau yang selesa satu ketika dulu, kini sudah berbeza.
Seiring dengan usianya yang sudah mencecah 82 tahun, kudrat anak jati kelahiran Bagan Datuk, Perak ini semakin terbatas.
Keadaan kesihatannya semakin uzur sejak 2016 selepas mengidap komplikasi buang air kecil.
Sejak itu, beliau terus diduga dengan ujian penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, kebas tangan dan kaki selain sakit pinggang, keadaan jantung yang tidak stabil.
Bahkan, pendengaran sebelah telingannya juga sudah semakin merosot dan sekiranya mahu ke biik air, Daud perlu dipapah ahli keluarganya.
“Hendak berjalan pun sudah tidak lalu (larat) sangat… solat juga atas bangku. Saya bergantung dengan ubat… dua tiga bulan sekali akan ke Klinik Kesihatan Bagan Datuk untuk pemeriksaan kesihatan.
“Saya kini banyak menghabiskan masa dan sisa hidup mencari saham akhirat,” katanya kepada sekumpulan wartawan yang menziarahi beliau di kediamannya di Kampung Sungai Balai Baruh, dekat sini, pada Rabu.
M Daud Kilau atau nama sebenarnya Muhammad Daud Kilau yang terkenal dengan lagu Cek Mek Molek itu tinggal bersama isterinya, Datin Rohani Awang Ngah, 63, dan seorang anak lelaki.
Sekalipun, sedang melalui kehidupan yang serba mencabar, namun, jauh di sudut hati, M Daud tidak pernah melupakan peminat-peminat yang selama ini menjadi tunggak kejayaannya dalam gelanggang seni.
“Saya doakan semua (peminat) panjang umur dan murah rezeki… doakan juga Daud Kilau lekas baik.
“Kalau tak baik tidak apa (tapi) kalau saya pergi doakan selamat pergi dan sedekahkan Al-Fatihah,” kata pengibur legenda tanah air itu.
Terdahulu, dalam pertemuan yang sama, seniman sepanjang zaman itu menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak, Mohd Akmal Kamarudin.
M Daud Kilau turut menerima bantuan awal daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Mohd Akmal.
Menurut Mohd Akmal, kerajaan negeri melalui agensi berkaitan akan melihat bantuan yang bersesuaian untuk penyanyi veteran itu.
Sumber: ASTRO Awani