MUSANG KING BERNILAI RM6,000 DIRAMPAS
MUSANG KING BERNILAI RM6,000 DIRAMPAS
SEPANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas 16 durian Musang King dianggarkan bernilai RM6,000 yang cuba dibawa ke Indonesia, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, Selasa lalu.
Pemangku Pengarah MAQIS Selangor, Zamri Hashim, berkata durian terbabit dirampas selepas seorang lelaki warga Malaysia berusia 30-an yang membawanya gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi.
Dalam pemeriksaan rutin MAQIS bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), beliau berkata, lelaki yang bekerja dengan sebuah syarikat penerbangan itu didapati membawa empat kotak mengandungi 16 durian jenis Musang King.
“Semua durian seberat 56 kilogram itu dianggarkan bernilai RM6,000.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati buah berkenaan dipercayai untuk dihantar kepada majikan lelaki itu di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Zamri menegaskan, perbuatan mengeksport sebarang tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit, adalah salah mengikut Seksyen 11(2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
GAMBAR HIASAN
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) akta sama yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
Beliau berkata, MAQIS sentiasa tegas, cekap dan teliti dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di pintu masuk seluruh negara, lapor BH Online.
“Langkah ini bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara.
“Ia juga untuk memastikan makanan yang keluar dari Malaysia mematuhi syarat dan peraturan ditetapkan,” katanya.