KAWALAN KETAT KETIBAAN VAKSIN COVID-19 SINOVAC
KAWALAN KETAT KETIBAAN VAKSIN COVID-19 SINOVAC
KUALA LUMPUR: Penugasan mengawal selia keselamatan vaksin COVID-19 Sinovac yang dijadual tiba di negara ini esok, diletakkan di bawah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang berikutan tempat penyimpanannya berada di bawah pentadbiran ibu pejabat polis itu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah, berkata vaksin Sinovac dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 9 pagi esok dan kawalan keselamatan akan dilaksanakan pasukan polis kontinjen Selangor.
“Sebaik konvoi kenderaan membawa vaksin memasuki Serdang, kami akan mengambil alih sehinggalah vaksin itu sampai di tempat penyimpanan,” katanya selepas menghadiri Program 1st Day At School IPD Serdang di sini, hari ini.
Razali berkata, sejumlah pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di dalam dan luar tempat penyimpanan vaksin Sinovac dan penugasan itu berterusan sehingga selesai diedarkan kepada penerima, lapor BH Online.
GAMBAR HIASAN
“Pegawai dan anggota polis akan bertugas selama 24 jam secara bergilir-gilir mengikut shif yang ditentukan bagi memastikan kawasan penyimpanan vaksin selamat,” katanya.
Ahad lalu, Malaysia menerima vaksin COVID-19 yang pertama dari jenis Pfizer-BioNTech sebanyak 312,390 dos.
Fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bermula Februari hingga April membabitkan petugas barisan hadapan, diikuti fasa kedua bermula April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi, iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan dengan masalah morbiditi serta golongan orang kurang upaya (OKU).
Fasa ketiga pula, membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas, bermula dari Mei hingga Februari tahun depan.
Pada 13 Januari lalu, Pharmaniaga mengumumkan menandatangani perjanjian dengan Sinovac untuk membotol dan mengedarkan 14 juta dos vaksin COVID-19.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menerusi hantaran di Twitter pada 19 Februari lalu berkata Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) sedang dalam proses menilai data klinikal Sinovac.
Vaksin Sinovac sudah melepasi ujian klinikal tahap ketiga di beberapa negara termasuk Brazil, Turki dan Indonesia.