MENGAKU BUNUH PEMBANTU RUMAH
MENGAKU BUNUH PEMBANTU RUMAH
SINGAPURA: Seorang wanita Singapura mengaku bersalah kerana membiarkan kelaparan, menyerang dan akhirnya membunuh pembantu rumahnya dari Myanmar.
Insiden itu disifatkan pendakwa raya Singapura sebagai satu daripada kes penderaan pembantu rumah terburuk di negara itu.
Hab kewangan itu adalah tempat tinggal bagi kira-kira 250,000 pekerja domestik yang kebanyakannya berasal dari negara Asia yang miskin dan kisah penganiayaan terhadap golongan itu adalah perkara biasa.
Bagaimanapun, penderaan terhadap Piang Ngaih Don sangat mengerikan, dengan pembantu itu dicop, dicekik, dipukul dengan penyapu dan dicucuh dengan besi panas.
Gaiyathiri Murugayan, 40, mengaku bersalah semalam termasuk bagi kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat terhadap pembantu rumah berusia 24 tahun itu.
Dia akan dijatuhkan hukuman pada satu tarikh kelak dan boleh dipenjarakan seumur hidup.
“Bahawa seorang manusia memperlakukan manusia lain dengan cara yang jahat dan sangat tidak berperikemanusiaan ini adalah penyebab kepada kemarahan sebenar oleh mahkamah dan undang-undang mesti dilaksanakan sepenuhnya,” kata pendakwa raya.
Pembantu rumah itu diambil bekerja oleh Gaiyathiri dan suaminya, seorang pegawai polis pada 2015 bagi menjaga anak perempuan pasangan itu berusia empat tahun dan anak lelaki berusia setahun.
Bagaimanapun, tertuduh melakukan serangan fizikal kepada mangsa setiap hari, kebiasaannya beberapa kali sehari, dengan ibunya berusia 61 tahun kadangkala turut sama melakukannya, demikian menurut dokumen mahkamah yang dilihat AFP.
Pembantu rumah itu akhirnya meninggal dunia pada Julai 2016 selepas Gaiyathiri berulang kali menyerangnya selama beberapa jam.
Ngaih Don, yang bekerja untuk keluarga itu selama lebih setahun, pada saat kematiannya diberi makanan yang sangat sedikit dan dipaksa mandi dan keluar dengan pintu terbuka.
Dengan hanya dibenarkan tidur selama lima jam semalam, dia kehilangan 38 peratus berat badannya ketika bekerja dan hanya seberat 24 kilogram ketika meninggal dunia, lapor AFP.
Pihak pendakwaan meminta pertuduhan dikurangkan kepada menyebabkan kematian tanpa niat berbanding pembunuhan yang boleh dikenakan hukuman mati di Singapura selepas mempertimbangkan keadaan Gaiyathiri yang menderita akibat penyakit termasuk kemurungan.
Polis mengesahkan, suaminya turut berdepan pelbagai tuduhan berhubung kes itu.