IBU TUNGGAL DAPAT RUMAH BARU DARI AGONG
IBU TUNGGAL DAPAT RUMAH BARU DARI AGONG
PEKAN: Seorang ibu tunggal di Kampung Sungai Ganchong, Acheh di sini terharu menerima kurniaan bantuan bagi membina sebuah rumah baharu daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas rumahnya rosak akibat banjir yang melanda daerah ini bulan lalu.
Norhasnah Mat Yunos, 60, berkata, beliau bangga dan terkejut apabila dimaklumkan bahawa rumah yang akan dibina itu adalah hasil kurniaan bantuan daripada Yang di-Pertuan Agong.
“Makcik berasa bangga dan terkejut dengan kurniaan Tuanku, memang makcik tidak jangka ambil masa begitu cepat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan bantuan bagi membina rumah baharu kepada mangsa yang yang terjejas di daerah Pekan hari ini.
GAMBAR IHSAN BH ONLINE
Malah baginda turut berangkat turun padang bagi meninjau sendiri pembinaan dua Rumah Bantuan Banjir di Kampung Sungai Ganchong, Acheh dan Kampung Tanjung Pulai, hari ini.
Norhasnah, berkata beliau tidak pernah menyangka akan mendapat rumah diberikan secara percuma hasil kurniaan Yang di-Pertuan Agong.
“Makcik menjunjung kasih kepada Tuanku sebab buat rumah makcik dengan cepat. Memang makcik tidak pernah terfikir untuk dapat rumah setelah tinggal di sini sejak 40 tahun yang lalu.
“Terima kasih Yang di-Pertuan Agong. Saya mendoakan supaya baginda selamat dunia akhirat,” kata ibu kepada empat anak itu.
Katanya lagi, rumahnya biasanya menjadi kawasan pertama yang dinaiki air banjir setiap tahun dan yang terakhir yang akan surut.
“Memang boleh dikatakan setiap tahun rumah makcik akan banjir. Alhamdulillah makcik dimaklumkan rumah yang baharu ini akan dibina dengan tiang yang lebih tinggi. Insya-Allah air banjir tidak akan masuk rumah selepas ini, lapor BH Online.
“Makcik juga dimaklumkan juga rumah ini akan disiapkan dalam tempoh 12 minggu lagi,” katanya.