NEW ZEALAND GANTUNG HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN MYANMAR
NEW ZEALAND GANTUNG HUBUNGAN DIPLOMATIK DENGAN MYANMAR
WELLINGTON: New Zealand hari ini mengumumkan penangguhan hubungan ketenteraan dan politik peringkat tinggi dengan Myanmar.
Ini adalah langkah antarabangsa pertama bagi menyisihkan junta pemerintah tentera berikutan rampasan kuasa oleh tentera negara itu.
Mengumumkan langkah itu, Perdana Menterinya, Jacinda Ardern, meminta masyarakat antarabangsa mengutuk keras apa yang berlaku di Myanmar.
“Selepas bertahun-tahun bekerja keras membangunkan demokrasi di Myanmar, saya rasa setiap warga New Zealand kecewa dengan apa yang kita lihat dalam beberapa hari kebelakangan ini apabila tentera mengambil alih pemerintahan.
“Kami mahu menegaskan yang kami akan melakukan apa yang bagi membantu Myanmar dari sini, di New Zealand,” katanya kepada wartawan tempatan.
Tambah Ardern, langkah itu termasuk larangan perjalanan ke atas tokoh tentera kanan Myanmar yang merampas kuasa di negara itu.
Minggu lalu, tentera Myanmar dilaporkan menahan Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD), Aung San Suu Kyi dan puluhan anggota parti itu, sekali gus mengakhiri satu dekad pemerintahan awam.
Ardern berkata New Zealand mahu Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHRC) perlu memanggil sesi khas untuk membincangkan perkembangan di Myanmar.
Katanya, program bantuan New Zealand di Myanmar bernilai sekitar NZ$42 juta (RM170.46 juta) akan dipastikan tidak memberi manfaat atau berada di bawah penguasaan kendalian junta tentera.
“Kami sangat berhati-hati dengan apa pun bantuan dan kerja pembangunan yang kami lakukan di sana dan memastikan ia tidak akan menyokong rejim itu,” katanya.
Ardern mengakui New Zealand memiliki pengaruh yang terbatas ke atas tentera Myanmar tetapi memaklumkan Suu Kyi secara peribadi mengucapkan terima kasih kepadanya bagi bantuan ketika proses peralihan negara kepada sistem demokrasi.
“Saya rasa kita perlu memainkan peranan yang lebih dalam masa kritikal ini bagi Myanmar dan peralihan kepemimpinan mereka,” katanya.
Junta tentera mengisytiharkan darurat selama setahun minggu lalu dan berjanji akan mengadakan pemilihan baru selepas itu, tanpa menyatakan jangka masa yang tepat mengenainya.
Dengan tindakan terbaru junta tentera itu, maka berakhir eksperimen 10 tahun Myanmar di bawah pemerintahan demokrasi selepas hampir 50 tahun berada di bawah pemerintahan tentera.
Jeneral tentera membenarkan rampasan kuasa itu selepas mendakwa berlaku penipuan pada pilihan raya November lalu, yang dimenangi NLD, lapor AFP.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta, menolak dakwaan penipuan itu.
“Kami tidak mengiktiraf kesahihan kerajaan yang dipimpin tentera dan kami meminta tentera segera membebaskan semua pemimpin politik yang ditahan serta memulihkan pentadbiran awam,” katanya dalam satu kenyataan.