TENTERA AFGHANISTAN MAUT DISERANG TALIBAN
TENTERA AFGHANISTAN MAUT DISERANG TALIBAN
JALALABAD: Seorang pengebom bunuh diri memandu sebuah kenderaan dipenuhi bahan letupan ke dalam pangkalan tentera Afghanistan di sini, hari ini, membunuh sekurang-kurangnya lapan anggota keselamatan dalam serangan didakwa dilakukan Taliban.
Serangan menjelang pagi itu berlaku di wilayah bergolak Nangarhar, di mana Taliban sudah melaksanakan beberapa serangan terhadap tentera kerajaan.
Ia berlaku dua hari selepas Pentagon memaklumkan, Taliban tidak menunaikan janji yang dibuat dalam perjanjian ditandatangani dengan Washington tahun lalu, termasuk mengurangkan keganasan dan memutuskan hubungan dengan Al-Qaeda, lapor AFP.
GAMBAR IHSAN AFP
Pejabat gabenor wilayah Nangarhar berkata, lapan anggota tentera itu terbunuh apabila pengebom itu merempuh pangkalan itu dengan menaiki Humvee.
Timbalan Ketua Majlis Wilayah Nangarhar, Ajmal Omar, mengesahkan serangan itu, namun memaklumkan jumlah anggota tentera yang maut adalah 15 orang, dan lima tercedera.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, berkata kumpulan Itu bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan.
Pejabat gabenor memaklumkan, pihak tentera merampas sebuah kenderaan lagi yang turut dipenuhi bahan letupan berhampiran bandar Jalalabad, ibu negeri Nangarhar.
Wilayah Nangarhar kerap menjadi sasaran serangan DAESH.
Dalam kejadian berasingan, dua bom di jalanan meletup di Kabul hari ini, namun tiada individu yang terkorban, kata polis.
Insiden keganasan tercetus di seluruh Afghanistan walaupun Taliban dan kerajaan negara itu sedang mengadakan rundingan damai sejak September tahun lalu.
GAMBAR IHSAN AFP
Namun, rundingan itu masih gagal mencapai kata sepakat.
Pentadbiran baharu Amerika Syarikat (AS) pimpinan Joe Biden mendakwa Taliban tidak mengurangkan keganasan walaupun sudah menandatangani perjanjian dengan Washington tahun lalu, yang menyatakan kumpulan itu perlu berbuat demikian.
Perjanjian itu memaksa Taliban menghentikan serangan terhadap anggota tentera AS, mengurangkan keganasan dengan mendadak serta melakukan rundingan damai dengan kerajaan Afghanistan di Kabul.
Sebagai balasan, AS akan mengurangkan jumlah tenteranya dari negara itu secara berperingkat, dan mengeluarkan semua tenteranya menjelang Mei tahun ini.