BANGLADESH HANTAR PELARIAN ROHINGYA KE BHASAN CHAR
BANGLADESH HANTAR PELARIAN ROHINGYA KE BHASAN CHAR
DHAKA: Kira-kira 1,700 pelarian Islam Rohingya hari ini menjadi kumpulan ketiga dihantar ke Bhasan Char, penempatan di pulau terpencil di Teluk Benggala.
Menurut pegawai tentera laut Bangladesh, satu lagi kumpulan akan dihantar esok, walaupun terdapat kebimbangan pulau berkenaan terdedah kepada ribut dan banjir.
Mereka adalah kumpulan terbaru menyertai kira-kira 3,500 pelarian etnik Rohingya dari negara jiran Myanmar yang dihantar Bangladesh ke pulau Bhasan Char sejak awal Disember lalu, lapor Agensi.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Tindakan itu bertujuan mengurangkan kesesakan dan pelbagai masalah lain di kem di sempadan Myanmar-Bangladesh yang menempatkan jutaan pelarian Rohingya.
Menurut pegawai bertanggungjawab di pulau berkenaan, Komodor Abdullah Al Mamun Chowdhury, hari ini kita-kira 1,700 pelarian dijangka sampai.
“Kini, lebih ramai pelarian Rohingya berpindah ke pulau ini secara sukarela selepas transit ke kem terdekat yang terletak di bandar pelabuhan Chittagong.
“Esok, kira-kira 1,300 lagi akan menyertai mereka dan kesemuanya, sekitar 3,000 pelarian, akan dipindahkan ke Bhasan Char,” katanya.
GAMBAR IHSAN AGENSI
Pulau yang muncul di laut kira-kira dua dekad lalu itu mengambil masa beberapa jam perjalanan dari pelabuhan Chittagong.
Chowdhury juga menafikan wujud ancaman banjir berikutan dinding setinggi dua meter dibina sepanjang 12 kilometer (km) bagi melindungi pulau yang mampu menampung 100,000 orang, lengkap dengan segala kemudahan asas.