KENAPA GUNA DUIT RAKYAT BELI KOMPUTER?
KENAPA GUNA DUIT RAKYAT BELI KOMPUTER?
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan kenapa wang simpanan rakyat digunakan untuk inisiatif kerajaan membeli komputer untuk diagih kepada pelajar.
Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian susulan laporan sumbangan komputer oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) menerusi inisiatif CERDIK bulan depan.
Beliau seterusnya mempersoalkan kenapa duit simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rakyat Rakyat disasar dan digunakan pula untuk inisiatif kerajaan yang sepatutnya dibayar dari bajet kerajaan, lapor Malaysiapost.
GAMBAR HIASAN
“Seperti saya terangkan semalam, peruntukan RM150 juta dalam bajet 2021 untuk membeli 150,000 komputer yang akan diagih kepada murid sekolah bukanlah dari dana kerajaan, tetapi adalah sumbangan GLC dan GLIC ke dalam Tabung CERDIK dikendali Yayasan Khazanah Nasional.
“Ia tiada kaitan dengan kelulusan peruntukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membina dewan-dewan atau sebagainya.
“Tapi yang meragukan ialah antara GLIC yang akan sumbang kepada jumlah RM150 juta ini adalah (Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan KWSP.
“Kenapa pula duit simpanan ASB dan KWSP rakyat disasar dan digunakan pula untuk inisiatif kerajaan yang sepatutnya dibayar dari bajet kerajaan,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Semalam Yayasan Hasanah, sebuah entiti Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), menerusi kenyataan memaklumkan akan menyediakan komputer riba, tablet dan kesambungan data kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah menerusi inisiatif CERDIK mulai bulan depan.
CERDIK, inisiatif rintis yang diumumkan dalam Belanjawan 2021, bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan norma baharu pelajaran dalam talian, e-pembelajaran dan pengajaran luar bilik darjah.
Inisiatif itu melibatkan sumbangan berjumlah RM150 juta daripada 13 syarikat GLIC dan GLC mewakili syarikat di bawah Khazanah, PNB, KWSP dan PETRONAS.
Dalam pembentangan Belanjawan 2021 tahun lalu, Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan sumbangan sebanyak RM150 juta ke dalam Tabung CERDIK oleh GLC dan GLIC.
Projek yang akan diselia oleh Yayasan Hasanah itu akan memberi bantuan komputer riba kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis.