POSITIF LEPAS KUARANTIN
POSITIF LEPAS KUARANTIN
WELLINGTON: Kes pertama COVID-19 dalam komuniti di New Zealand selepas lebih dua bulan, dikenal pasti sebagai varian Afrika Selatan.
Menteri Kesihatan New Zealand, Chris Hipkins, hari ini berkata pesakit berkenaan dipercayai dijangkiti ketika di kuarantin di hotel, lapor AFP.
GAMBAR HIASAN
Wanita berusia 56 tahun yang dijangkiti virus itu baru pulang dari Eropah dan disahkan positif kelmarin, 10 hari selepas selesai menjalankan kuarantin wajib selama dua minggu.
Penularan tempatan itu yang pertama dilaporkan di New Zealand sejak pertengahan November lalu, turut diklasifikasikan sebagai strain lebih mudah berjangkit.
“Strain jangkitan adalah varian Afrika Selatan dan sumber jangkitan kemungkinan besar membabitkan pengembara lain,” kata Hipkins.
Wanita itu dipercayai dijangkiti oleh individu yang menginap di tingkat sama sebuah hotel ketika menjalani kuarantin wajib di negara itu, dua hari sebelum keluar dari hotel terbabit.
Selepas menjalani kuarantin wajib itu, wanita terbabit mengunjungi beberapa lokasi di sekitar wilayah Northland dekat Auckland sebelum menunjukkan gejala jangkitan beberapa hari kemudian dan diuji positif COVID-19.
Dua kontak rapat, termasuk suaminya, disahkan negatif dan Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand Ashley Bloomfield berkata mereka kemungkinan terhindar daripada jangkitan berikutan simptom yang ditunjukkan wanita berkenaan.
“Dia tidak mengadu mengalami gejala pernafasan, ia lebih kepada terasa sakit pada otot, sebab itu dia mungkin tidak menyebarkan virus berkenaan,” kata Bloomfield.
“Saya rasa ia tidak menghairankan dengan varian ini, sebagaimana (simptom) yang dialami wanita terbabit.”
Sebelum ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, tidak ada bukti jelas varian Afrika Selatan membawa kepada kesan jangkitan teruk dan kematian yang lebih tinggi.
GAMBAR HIASAN
New Zealand mendapat pujian antarabangsa kerana bijak menangani penularan pandemik ini, dengan hanya 25 kematian dari 1,927 kes virus daripada lima juta populasi penduduk.