DUA LELAKI DITAHAN BAKAR MOTOSIKAL
DUA LELAKI DITAHAN BAKAR MOTOSIKAL
SUBANG : Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki membakar motosikal rosak yang ditinggalkan di tepi Jalan Aman Tambahan, Puchong dekat sini.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, mangsa berusia 19 tahun yang tinggal di Puchong pada mulanya meninggalkan motosikal Modenas Kriss di kawasan terbabit pada 6 petang, 17 Januari lalu kerana rosak.
Menurutnya, mangsa yang kembali ke lokasi pada 6.30 petang dan mendapati motosikalnya terbakar.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
“Dia kemudiannya menerima rakaman video menerusi aplikasi WhatsApp daripada kenalannya mengenai tindakan seorang lelaki sedang membakar motosikalnya itu.
“Mangsa yang mengalami kerugian kira-kira RM1,000 kemudiannya membuat laporan polis mengenai kejadian terbabit.
“Bertindak atas maklumat itu, pada 12.30 tengah hari Isnin lalu, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menahan dua lelaki yang disyaki terbabit dalam kejadian terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abd Khalid berkata, siasatan awal mendapati kedua lelaki berkenaan mengaku terbabit dalam kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Harian Metro melaporkan, sebelum ini, tular video yang mendakwa penduduk kawasan terbabit membakar motosikal itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan sekumpulan remaja menunggang motosikal dan membuat bising.