YU PAUS 1.5 TAN MATI DISYAKI PERBUATAN KHIANAT
YU PAUS 1.5 TAN MATI DISYAKI PERBUATAN KHIANAT
LUMUT : Seekor ikan yu paus berusia lima tahun ditemui mati disyaki akibat perbuatan khianat berikutan bangkainya ditemui terapung dengan keadaan sirip kanannya sudah dipotong.
Bangkai ikan yu paus jantan berukuran 5.7 meter panjang dan berat 1.5 tan metrik itu ditemui tersangkut pada pokok bakau di Jeti Damar Laut, Segari, dekat sini pada pukul 6.30 petang semalam, lapor KOSMO! Online.
Ketua Cawangan Mamalia Marin Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd. Tamimi Ali Ahmad berkata, sebelum itu pejabat Jabatan Perikanan di sini menerima maklumat nelayan mengenai penemuan bangkai ikan itu di perairan Pulau Pangkor pada pukul 3 petang kelmarin.
“Berikutan itu, anggota Cawangan Perlindungan Sumber Pejabat Perikanan Negeri (PPN) di Kampung Acheh melakukan pencarian selama dua hari sebelum menemuinya petang semalam sebelum dibawa ke PPN di sini,” katanya pada sidang akhbar di PPN Kampung Acheh dekat sini hari ini.
GAMBAR IHSAN MEDIA SOSIAL
Beliau berkata, berdasarkan keadaan bangkai ikan itu, dipercayai ia sudah mati pada Khamis lalu dan bedah siasat menemui beberapa jenis sampah seperti plastik dan ranting kayu serta air laut dengan isipadu sebanyak 10 gelen dalam kantung perutnya.
Menurutnya, ikan dengan nama saintifik rhincodon typus itu dipercayai hidup di sekitar gugusan Pulau Sembilan yang mempunyai banyak sumber makanan ikan seperti ikan kecil khususnya ikan bilis, plankton dan udang geragau.
“Ikan ini jarang ditemui mati di perairan Perak kerana berdasarkan kes-kes lepas kebiasaannya ia ditemui hidup, jadi apabila ditemui sudah mati adalah perkara agak luar biasa,” katanya.
Mohd. Tamimi tidak menolak kemungkinan ikan itu ditangkap pihak tidak bertanggungjawab lalu memotong sirip di bahagian pektoral kanan sebelum dilepaskan semula ke laut yang mengakibatkan kematiannya.