FOKUS UTAMA BANTU RAKYAT
FOKUS UTAMA BANTU RAKYAT
KUALA LUMPUR: Wanita UMNO konsisten menyokong pendirian parti dan setiap keputusan yang telah diputuskan dalam mesyuarat Tertinggi UMNO.
Ketuanya, Datuk Seri Noraini Ahmad, berkata pendirian itu selaras dengan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahukan rakyat terus dibantu.
KETUA WANITA UMNO, DATUK SERI NORAINI AHMAD
“Fokus utama Wanita UMNO adalah membantu rakyat dan memperkukuhkan gerak kerja dalam mencapai objektif menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Dalam keadaan negara yang kini dilanda wabak Covid-19 dan juga banjir, sudah pasti keperluan rakyat perlu diutamakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini, lapor Malaysiapost.
Justeru, katanya, sebagai tulang belakang parti, sudah pasti Wanita UMNO akan terus mengembling tenaga memastikan kebajikan rakyat dijaga.
“Wanita UMNO juga menyeru kepada semua ahli parti untuk terus merapatkan saf, memperkukuhkan parti agar rakyat dapat melihat dengan jelas bahawa inilah parti yang benar-benar mampu membawa denyut nadi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Dalam pada itu, marilah kita terus mempertingkatkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP), menjaga kawalan kendiri agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan dan angka pesakit positif kembali kepada sifar,” katanya.