TIDAK TOLAK BERLAKU KEGIATAN SELUDUP DAGING TIDAK HALAL
TIDAK TOLAK BERLAKU KEGIATAN SELUDUP DAGING TIDAK HALAL: GUNA LOGO HALAL PALSU
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak menolak kemungkinan berlaku penyeludupan bekalan daging sejuk beku tidak halal yang kemudian diletakkan logo halal palsu di pasaran negara ini.
Pengarah Bahagian Penyelidikannya, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata ia tidak mustahil berlaku disebabkan kelemahan dan ketirisan beberapa aspek yang perlu ditambah baik.
“Situasi ini turut berlaku di negara lain contohnya di Singapura jadi tidak mustahil ia turut berlaku di negara ini,” katanya melalui segmen tanya JAKIM bertajuk SOP Halal: Di mana silapnya yang disiarkan di laman Facebook JAKIM, di sini seperti dilaporkan Berita Harian.
Pada masa sama, Sirajuddin berkata, proses membawa bekalan daging import ke negara ini adalah panjang termasuk prosedur kunjungan ke loji penyembelihan di luar negara yang turut disertai Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dan Kementerian Kesihatan.
Kerajaan hanya luluskan daging import daripada 28 rumah sembelih.
Katanya, laporan audit kemudiannya perlu dikemukakan kepada pelbagai agensi berkaitan sebelum melalui proses perbincangan.
“Namun ketirisan boleh berlaku dalam beberapa aspek yang perlu kita tambah baik pada masa depan untuk mengelakkan situasi sama berlaku, ” katanya.
Sirajuddin berkata, mana-mana pihak industri yang berkeyakinan bahawa produk mereka disahkan halal perlu tampil ke depan untuk mengembalikan keyakinan pengguna membabitkan bekalan daging import ini.