EBIT BANTU KELUARGA GANESH
EBIT BANTU KELUARGA GANESH: SEWAKAN RUMAH DAN PERALATAN KELENGKAPAN
GEORGETOWN: Keperitan hidup seorang pengawal keselamatan bersama keluarganya yang terpaksa tinggal di dalam kereta sejak lapan bulan lalu berakhir apabila nasib mereka mendapat perhatian penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew.
Ebit menerusi hantaran di FACEBOOKnya hari ini berkata, beliau amat sedih selepas membaca kisah S Ganesh, 34, isteri, S Parameswary, 32, dan tiga anak mereka berusia antara 6 tahun hingga 8 bulan yang tinggal di dalam kereta selepas rumah mereka musnah dalam kebakaran, awal April lalu.
EBIT LEW (KANAN) MENEMANI AHLI KELUARGA GANESH MEMBELI BARANGAN KEPERLUAN/FACEBOOK
Menurutnya, beliau mengetahui kisah lima beranak itu ketika berada di Johor Bahru lalu bergegas ke Pulau Pinang untuk menyalurkan bantuan.
“Cuti umum Krismas dari Johor Bahru terus saya ke Pulau Pinang. Menangis sebak semalam masa di Johor Bahru terbaca pasal Ganesh dan isteri, Parameswari serta tiga anak kecil yang tidur lapan bulan di dalam kereta.
“Sedihnya rasa. Saya tidur lena makan sedap, ada orang sampai tinggal dekat bonet kereta. Berpantang baru lepas bersalin hanya dalam kereta,” katanya, lapor SINAR HARIAN.
Dalam hantaran itu juga, Ebit berkongsi beberapa keping gambar beliau membawa keluarga itu membeli barangan keperluan selain rumah baharu yang disewa untuk mereka.
” Saya sewakan rumah cantik selesa ada tiga bilik. Saya akan bayar sewa rumah untuk sebulan sementara mereka dapat rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT). Dah dua kali mohon semenjak rumah terbakar.
“Tapi jika mereka terus ingin tinggal di situ pun saya akan terus bayarkan dengan gembira. Saya hadiahkan peti ais, mesin basuh, televisyen, RICE COOKER, dapur, kipas, satu katil saiz QUEEN, dua katil SINGLE, barang dapur dan duit belanja. Sayu masa nak belikan barang untuk mereka.
“Baik sangat pasangan ini, tidak berhenti Ganesh dan isteri ucapkan terima kasih dan mereka menangis terharu. Kata mereka, kenapa banyak sangat dan mereka suka sangat tengok rumah, saya gembira dapat tengok senyuman anak-anak comel,” katanya.
EBIT LEW (KANAN) MELAYAN KARENAH ANAK PASANGAN GANESH DAN PARAMESWARY/FACEBOOK
Pada Khamis, media melaporkan kehidupan Ganesh bersama isteri dan tiga anak mereka terpaksa tinggal di dalam kereta Proton Iswara yang berusia kira-kira 20 tahun selepas rumah mereka di Lebuh Carnarvon, di sini musnah dalam kebakaran pada awal April lalu.
Ganesh berkata, setiap hari dia akan membawa kereta tersebut dengan anak dan isteri mencari tempat redup untuk berhenti dan berteduh sementara di sekitar bandar ini dan menggunakan tandas-tandas awam untuk mandi dan sebagainya.
Sementara itu, Parameswary yang bersalin lapan bulan lalu terpaksa menjalani kehidupan berpantang dengan anak ketiganya di dalam kereta tersebut kerana tiada tempat tinggal.
Dia hanya mengharapkan pendapatan suami yang bergaji kecil dan bayinya hanya minum susu badan bercampur susu botol.