BAYI ANTARA DITAHAN DALAM OPERASI KHAS
PETALING JAYA: Tiga bayi berusia 10 hari hingga tiga bulan antara 46 pendatang asing warganegara Indonesia ditahan dalam satu operasi khas oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di rumah kongsi Kampung Semaut di Bentong, Pahang.
Pengarah Jabatan Imgresen Negeri, Muhammad Hatta Kassim, berkata operasi yang dijalankan oleh 47 pegawai dengan sokongan Pasukan Gerak Am (PGA) dijalankan sempena hari terakhir perintah kawalan pergerakan diperketatkan PKPD di kawasan berkenaan.
“Dalam operasi ini, 19 lelaki, 22 perempuan, empat kanak-kanak lelaki, dan seorang kanak-kanak perempuan ditahan atas pelbagai kesalahan bawah Akta Imigresen,” katanya.
Memetik laporan UTUSAN MALAYSIA, dalam pada itu, 33 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan kerana tiada dokumen yang sah mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen.
Beliau berkata, 11 orang pula ditahan kerana tinggal lebih masa dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(c) akta sama.
“Dua ditahan kerana melanggar syarat pas bawah Peraturan 39(B) Peraturan Imigresen. Pemilik premis dipanggil dan disiasat bawah Seksyen 55E Akta Imigresen kerana membenarkan warga asing berada di premis miliknya,” katanya.
Hatta berkata warga asing yang ditahan adalah pekerja dalam pelbagai sektor di Genting Highlands seperti buruh, pekerja kedai makan dan industri pelancongan di situ.
“PATI terbabit menduduki kira-kira 70 bilik rumah kongsi di kampung berkenaan, semua tahanan dibawa ke pusat tahanan imigresen di Triang, Bera,” katanya.