MEKANIK KE TALI GANTUNG
PUTRAJAYA: Seorang bekas mekanik yang disabitkan membunuh teman wanitanya lima tahun lalu, gagal dalam rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini untuk mengetepikan hukuman mati ke atasnya.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim sebulat suara menolak rayuan Norhalis Mohamad Zaid, 33, terhadap hukuman mati dijatuhkan Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2 Oktober 2018 selepas didapati bersalah membunuh Noor Salwana Wahab, 28, seorang jurutol.
Hakim Abang Iskandar yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Vernon Ong Lam Kiat berkata, selepas meneliti hujahan dan rekod rayuan dikemukakan perayu, mahkamah mendapati sabitan direkodkan ke atas perayu adalah selamat.
“Mahkamah juga mendapati tiada sebab untuk perayu mengganggu fakta dan dapatan oleh Mahkamah Tinggi yang dikekalkan Mahkamah Rayuan.
“Mahkamah juga mendapati rayuan dikemukakan perayu tidak mempunyai merit. Dengan ini, mahkamah mengekalkan sabitan dan hukuman perayu. Oleh itu, rayuan perayu ditolak,” kata hakim itu.
Norhalis didakwa membunuh wanita itu di kawasan sekitar hotel di Seri Kembangan antara jam 6.30 petang, 17 Julai 2015 dan jam 2 pagi, 18 Julai tahun sama, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Bernama melaporkan, mayat teman wanitanya ditemui berbalut selimut putih selepas kemalangan sebuah kereta di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi berhujah, keterangan seorang pakar patologi menunjukkan kematian mangsa disebabkan jerutan dan manual strangulation dan bukan akibat hentakan tali pinggang keledar ketika kemalangan jalan raya seperti didakwa perayu.
“Kepakaran saksi pendakwaan ini tidak pernah dicabar dan saksi itu juga tidak pernah disoal balas pihak pembelaan berhubung terdapat kemungkinan tali pinggang keledar dalam kereta menyebabkan kecederaan pada leher mangsa ketika berlaku kemalangan.
“Perayu cuba menggunakan teori tali pinggang dengan alasan seorang saksi pendakwaan yang menolong perayu mengangkat mangsa, yang tidak sedarkan diri, tidak berbaju dengan dibaluti selimut putih turun daripada sebuah hotel melalui tangga sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kereta, tidak nampak kesan kecederaan pada leher mangsa,” katanya.
Beliau berkata, ini kerana badan mangsa besar dan kesan cedera itu terlindung oleh dagu dan kepala mangsa menyebabkan saksi terbabit tidak nampak kesan jerutan itu.
Tetralina berhujah, tidak mungkin kesan kecederaan yang panjang dan mengelilingi leher mangsa terjadi akibat hentakan tali pinggang keledar ketika kemalangan berlaku.
Peguam Ghazali Ismail yang mewakili Norhalis pula berhujah, kecederaan pada leher mangsa disebabkan hentakan tali pinggang keledar yang dipakainya ketika berlaku kemalangan jalan raya dan bukan disebabkan jerutan.
“Oleh kerana mangsa tidak sedarkan diri, beliau tidak dapat melindungi dirinya ketika kemalangan itu berlaku,” katanya yang turut memaklumkan saksi pendakwaan yang membantu perayu mengangkat mangsa turun ke lobi juga tidak nampak kesan cedera pada leher mangsa.
Perayu memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Temerloh pada 2 Oktober 2018.
Mahkamah Rayuan pada 10 Oktober 2019 menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.