KLUSTER BAHARU DIKESAN
2 KLUSTER DIKESAN DI LEMBAH KLANG BABITKAN WARGA ASING
PUTRAJAYA : Dua kluster baharu dikesan hari ini iaitu di beberapa daerah di Selangor dan Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster pertama dikesan di daerah Sepang, Kuala Selangor, Petaling dan Hulu Langat yang dinamakan sebagai Kluster Solar Ria.
“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-73,366) dilaporkan positif COVID-19 pada 7 Disember lalu ketika saringan sebelum pulang ke negara asal.
“Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 2,339 individu sudah disaring dan daripada jumlah itu terdapat 25 individu dikesan positif COVID-19 iaitu membabitkan sembilan warganegara dan 16 warga asing,” katanya dalam sidang media COVID-19, seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, kluster seterusnya dikesan di daerah Kepong di Kuala Lumpur hasil saringan di tempat kerja.
“Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-83,123) dilaporkan positif COVID-19 semalam ketika saringan sebelum pulang ke negara asal.
“Sehingga kini seramai 26 individu sudah disaring iaitu 13 daripadanya dikesan positif COVID-19. Kesemua mereka yang dijangkiti dalam kluster ini adalah warga asing,” katanya.