“SAYA MINTA MAAF”
PUTRAJAYA: “Saya tak bermaksud nak buat mana-mana pihak terasa hati. Saya minta maaf,” kata Cliff Umar.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kata-katanya yang menganggap pelitup muka (faceshield) membuat rasa tidak selesa ketika diumumkan sebagai juara Gegar Vaganza 7 (GV7) malam tadi.
Cliff ketika ditemui pada sesi sidang media berkata, pelitup muka itu mengganggunya untuk memberikan ucapan kemenangan.
“Saya maksudkan pelitup muka itu mengganggu, apabila saya nak bercakap dan berikan ucapan.
“Bukan ia mengganggu atau saya tidak bersetuju dengan prosedur operasi standard (SOP),” katanya.
Kata-kata Cliff itu mula menuai ciapan di pelbagai platform media sosial apabila dianggap tidak menjaga sensitiviti banyak piha terutamanya barisan hadapan yang bertungkus lumus menjaga keselamatan dan mengikut SOP.
Selepas diumumkan kemenangan oleh pengacara pertandingan hiburan itu, Nabil Ahmad dan Jihan Muse, Cliff Umar meminta untuk membuka pelitup muka berkenaan.
“Kejap, boleh tak saya buka ni (pelitup muka). Pasal SOP irritating (menjengkel) pakai benda tu,” katanya.
Perkara itu bagaimanapun mengundang kemarahan penonton serta warga net.