12 PERWAKILAN ASING TERIMA WATIKAH
AGONG PERKENAN KE ISTIADAT PENYERAHAN WATIKAH 12 KETUA-KETUA PERWAKILAN ASING
KUALA LUMPUR: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat ke Istiadat Penyerahan Watikah Pelantikan dan Majlis Menghadap oleh 12 Ketua-ketua Perwakilan Asing ke Malaysia di Istana Negara, hari ini.
Turut hadir ke istiadat itu Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.
Ketua-ketua perwakilan asing berkenaan ialah Sami Rafael Leino dari Finland, Kirsten Rosenvold Geelan (Denmark),Dr Petra Ponevács-Pana (Hungary), Jagdishwar Goburdhun (Mauritius) dan Michalis Rokas (Kesatuan Eropah).
Memetik laporan Istana Negara, selain itu, perwakilan asing yang turut menyembahkan watikah pelantikan, Hermono (Indonesia), Ronald Galharague (Perancis), Dr Peter-Christof Blomeyer (Jerman), Diego Velasco Von Pilgrimm (Chile), Pam Chong Dunn (New Zealand), Tran Viet Thai (Vietnam) dan Golam Sarwar (Bangladesh).
Selepas istiadat tersebut, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong turut berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah hari yang turut dihadiri semua perwakilan asing serta pegawai-pegawai dari Wisma Putra.