HAKIM SEKAT PERINTAH KERAJAAN HARAM WECHAT
Berita Global
HAKIM SEKAT PERINTAH KERAJAAN HARAM WECHAT
NEW YORK: Seorang hakim Amerika Syarikat (AS) membuat keputusan menyekat perintah kerajaan yang melarang memuat turun aplikasi WeChat.
Keputusan itu dibuat beberapa jam sebelum larangan itu berkuatkuasa ketika pertempuran teknologi dan pengintipan berterusan antara Washington dan Beijing.
Susulan itu, perintah kerajaan yang dibuat pentadbiran Presiden Donald Trump kini ditangguhkan.
Sabtu lalu, AS mengeluarkan perintah melarang muat turun aplikasi video popular, TikTok dan menyekat penggunaan aplikasi China, WeChat, atas alasan keselamatan negara.
Pegawai AS menyifatkan langkah itu penting bagi keselamatan negara kerana Presiden AS, Donald Trump, kini bergelut dengan Beijing dalam beberapa isu sehingga menyukarkan kempen pemilihan semulanya.
WeChat yang dimiliki gergasi teknologi TenCent, dianggarkan mempunyai 19 juta pengguna aktif setiap hari di AS.
Bagaimanapun ketika dihubungi, TenCent enggan mengulas keputusan itu.
Sementara itu, Mahkamah California itu menyatakan keputusan itu memberikan ‘usul perintah injunksi di seluruh negara terhadap pelaksanaan’ terhadap WeChat, dengan hakim melahirkan kebimbangan terhadap kebebasan bersuara.
Pakar berpendapat, keputusan itu akan memperlahankan aplikasi WeChat dan menyebabkan ia tidak dapat digunakan di AS untuk perbualan video bersama keluarga dan rakan, menurut para pakar.
Profesor undang-undang di University of Richmond, Carl Tobias, berkata keputusan itu memberikan kelegaan sementara kepada plaintif yang mahu memastikan aplikasi mereka tidak ditutup.
“Jika kerajaan merayu dan menang dalam rayuannya, plaintif masih boleh merayu keputusan itu. Pihak plaintif memerlukan masa. Dalam tempoh itu, presiden mungkin tidak lagi menduduki jawatan itu,” katanya.
Trump sedang berusaha untuk memenangi penggal keduanya sebagai Presiden pada pilihan raya 3 November ini dan mengangkat isu keselamatan nasional serta menunjukkan sikap agresifnya terhadap China dalam kempennya.
Beliau turut sering mendakwa pencabarnya dari Demokrat, Joe Biden sebagai bersikap ‘lemah’ terhadap Beijing.