ROKOK TANPA CUKAI DALAM VAN
ROKOK TANPA CUKAI DISEMBUNYI DALAM 6 VAN
ALOR SETAR: Polis marin menahan dua lelaki dan merampas 101,380 batang rokok pelbagai jenama disyaki tanpa cukai yang disembunyikan dalam enam van di hadapan sebuah rumah di Jalan Dato Kumbar di sini, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail, berkata kesemua rokok bernilai RM93,580 itu, dirampas dalam serbuan kira-kira 7.30 malam.
Katanya, dua lelaki berusia 45 dan 54 tahun dipercayai terbabit menjaga van berkenaan ditahan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan awal Unit Risikan Marin Kuala Kedah ke atas salah sebuah kenderaan terbabit menjumpai sejumlah kartun rokok diletakkan di but belakang van.
“Susulan itu, pasukan terbabit memeriksa kesemua van dan menemukan rokok berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Memetik laporan BH Online, Rosman berkata, stor penyimpanan rokok seludup itu dipercayai berpusat di Pulau Pinang yang menjadi pembekal untuk kawasan utara Semenanjung.
“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk enam van berserta nilai cukai rokok ialah RM453,580,” katanya.
Rosman berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.