PKPB DILANJUTKAN SEHINGGA 20 DISEMBER
PKPB DI KUALA LUMPUR, SELANGOR DAN SABAH BERMULA ISNIN INI
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Kuala Lumpur, Selangor dan Sabah, dilanjutkan bermula Isnin ini hingga 20 Disember ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPB itu dilanjutkan atas nasihat dan penilaian risiko dibuat Kementerian Kesihatan (KKM).
“Secara kumulatif sehingga kelmarin, sebanyak 6,366 kes positif COVID-19 direkodkan di Kuala Lumpur. KKM mengesahkan masih terdapat peningkatan kes positif COVID-19 yang ketara daripada beberapa kluster membabitkan Wilayah Persekutuan.
MENTERI KANAN KESELAMATAN, ISMAIL SABRI YAAKOB
“Secara kumulatif hingga tempoh sama di Selangor, sebanyak 15,534 kes positif COVID-19 direkodkan. Bagaimanapun, terdapat beberapa daerah menunjukkan kes positif COVID-19 yang terkawal iaitu satu kes aktif di Sabak Bernam, Hulu Selangor (10 kes) dan Kuala Selangor (28 kes).
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas semalam bersetuju PKPB di seluruh Selangor dilanjutkan lagi kecuali daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor yang akan kembali ke Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya menurut laporan BH Online.
Mengenai PKPB di Sabah, Ismail Sabri berkata, sebanyak 29,577 kes positif COVID-19 direkodkan di Sabah, setakat kelmarin.
GAMBAR HIASAN
Katanya, KKM turut mengesahkan masih terdapat peningkatan kes positif COVID-19 di beberapa daerah di seluruh negeri itu.
“Bagaimanapun atas nasihat KKM, sidang khas semalam turut bersetuju untuk menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di K-Avenue, Megacity, Penampang, Sabah, hari ini seperti dijadualkan.
GAMBAR HIASAN
“KKM melaksanakan 393 ujian saringan dan sebanyak 144 kes kumulatif positif COVID-19 direkodkan di lokaliti itu.
“Namun, sehingga kelmarin hanya tinggal baki 17 kes aktif yang direkodkan kawasan terbabit,” katanya.