MIC WAJAR DIHARAMKAN
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor hari ini berkata walaupun MIC sebuah parti komponen BN, ia wajar diharamkan dan tidak dibenarkan bergerak bebas jika didapati menghasut orang ramai melanggar undang-undang.
Sambil memberi nasihat kepada MIC, Sanusi berkata, sebagai sebuah parti politik berdaftar pertubuhan itu tidak boleh membela orang atau pihak yang didapati melanggar undang-undang.
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
“Saya ingin memberi nasihat kepada MIC Kedah dan MIC pusat, terutama sekali apabila kita terbabit dalam politik melalui sebuah parti… Parti kita ada perlembagaan, perlembagaan kita diluluskan oleh ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).
“Contohnya, dalam isu kuil, apabila kuil dibina di tempat yang tidak dibenarkan, ia melanggar undang-undang.
“Adakah MIC ditubuhkan sebagai parti politik untuk menghasut orang ramai melanggar undang-undang?
“Kalau dia ditubuhkan untuk menghasut orang ramai, MIC patut diharamkan di negara ini. (Ia) tidak boleh dibenarkan bergerak bebas,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Sanusi berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman MIC Kedah yang menganggap negeri Jelapang Padi Malaysia itu bukan lagi sejahtera untuk didiami masyarakat berbilang kaum.
Sementara itu dalam reaksi segera MIC, presidennya, SA Vigneswaran, membidas PAS dan menganggap parti itulah yang sepatutnya diharamkan kerana didakwa menyokong organisasi tidak rasmi antarabangsa.
“Jika membela hak masyarakat dan agama masing-masing ditafsirkan sebagai menghasut, (maka) PAS yang sepatutnya diharamkan.
“Ini kerana kita dengar ada banyak aduan terhadap mereka ketika menjadi pembangkang, (misalnya) sentiasa melakukan demontrasi berhubung isu antarabangsa.
“Dari dulu lagi banyak rakyat menganggap PAS menyokong organisasi antarabangsa yang berkaitan dengan pengganas.
“PAS juga suka mencampur tangan isu negara lain yang bercanggah dengan pendirian Malaysia bahawa kita tidak wajar masuk campur dalam hal kedaulatan negara lain,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.