GELOMBANG KEDUA BANJIR TERENGGANU
3 DAERAH MULA REKOD PEMINDAHAN PENDUDUK TERJEJAS AKIBAT BANJIR
KUALA TERENGGANU: Gelombang kedua banjir di negeri ini sudah bermula.
Menurut laporan Bernama, hujan lebat sejak semalam menyebabkan beberapa kawasan rendah di tiga daerah dinaiki air dan setakat 7.30 pagi tadi, empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Gambar Hiasan
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata seramai 192 mangsa daripada 57 keluarga dipindahkan ke empat PPS di Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Dungun.
“PPS pertama dibuka ialah Sekolah Kebangsaan Chendering di Kuala Terengganu yang menempatkan 15 mangsa daripada lima keluarga diikuti dua PPS di Kuala Nerus iaitu SK Tok Jembal (151 mangsa daripada 46 keluarga) dan Balai raya Alor Damat (empat mangsa, sekeluarga) serta Dewan Sivik Seberang Pintasan di Dungun (22 mangsa daripada enam keluarga).
“Ketika ini, pemindahan penduduk juga sedang dilakukan di daerah Setiu namun perinciannya masih dikemas kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk rekod, gelombang banjir pertama di Terengganu berlaku pada 18 November namun hanya melibatkan daerah Setiu.