MASYARAKAT INDIA TERIMA SUMBANGAN DEEPAVALI
KUANTAN: Seramai 40 masyarakat India dalam Parlimen Indera Mahkota, di sini menerima sumbangan wang tunai dan barangan keperluan sempena sambutan Deepavali.
Mereka terdiri daripada kalangan asnaf, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu dan Beserah.
Sumbangan disampaikan Timbalan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Indera Mahkota, Razali Alias mewakili Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah pada Program Cakna Komuniti Sempena Perayaan Deepavali di Semambu.
Razali berkata, sumbangan tersebut merupakan anjuran Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota bagi membantu mengurangkan beban masyarakat India terutama dalam suasana pandemik COVID-19 sekarang.
Razali (kiri) menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India dalam Parlimen Indera Mahkota sempena Deepavali
“Ia melibatkan bantuan wang tunai dan kit makanan terdiri daripada beras, biskut, minyak dan gula kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
“Saya harap sumbangan tersebut meringankan bebanan yang digalas mereka memandangkan ada yang hilang mata pencarian sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Bagi seorang penerima, K Chandran, 61, beliau sangat berbesar hati di atas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan kaum India terutama ketika menghadapi pandemik sekarang.
Tambahan pula, kedua-dua belah kakinya telah dipotong sehingga paras paha akibat tercucuk besi ketika bertugas di sebuah syarikat kontraktor tiga tahun lalu.
“Pada 2017, kaki saya tercucuk besi dan saya menghidap kencing manis lalu kaki saya dipotong.
K.Chandran (kanan) hanya mampu berada di atas kerusi roda dan tidak mampu bekerja untuk sara hidup
“Ketika ini isteri yang menjaga kerana tiga anak saya berada di negeri lain dan sukar untuk pulang kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Saya tidak menerima sebarang bantuan termasuk caruman SOCSO daripada majikan dan mengharap bantuan anak-anak,” katanya.