517 INGKAR PKP
467 KENA KOMPAUN, 50 DIREMAN
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 517 individu semalam, kerana kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata daripada jumlah itu, 467 orang dikompaun manakala 50 lagi direman.
“Antara kesalahan ingkar PKP ialah gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (187), tidak memakai pelitup muka (83), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (63), aktiviti di pusat hiburan (56), aktiviti perjudian (42) dan rentas negeri serta daerah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kebenaran (37).
“Task Force Operasi Pematuhan diketuai PDRM juga membuat 58,247 pemeriksaan pada hari sama, bagi memantau dan menguat kuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Sebanyak 2,923 Pasukan Pematuhan membabitkan 13,140 anggota membuat pemantauan terhadap 3,476 pasar raya, 4,833 restoran, 1,665 penjaja, 1,244 kilang, 3,289 bank dan 524 pejabat kerajaan.
“Turut dipantau 1,445 terminal pengangkutan darat, 249 terminal pengangkutan air serta 65 terminal pengangkutan udara,” katanya dalam kenyataan disiarkan BH Online.
Mengulas perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan 37 Ops Sanitasi Awam merangkumi 25 zon di 10 negeri, semalam.
“Operasi itu di 12 zon merah, empat zon jingga, enam zon kuning dan tiga zon hijau.
“Ia membabitkan 11 operasi di Sabah, Melaka (lapan operasi), Pulau Pinang (tujuh operasi), Pahang (dua operasi), Perak (dua operasi), Negeri Sembilan (dua operasi), Sarawak (satu operasi), Selangor (satu operasi), Terengganu (satu operasi), Wilayah Persekutuan (satu operasi) serta Putrajaya (satu operasi),” katanya.
Ismail Sabri berkata, sebanyak 11,513 operasi itu dilakukan membabitkan 137 zon, sejak 30 Mac lalu.
“Sebanyak 13,813 premis disanitasi terdiri daripada 2,824 pusat perniagaan, 1,643 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,730 tempat awam, 354 pasar raya dan 6,262 bangunan kerajaan,” katanya.