99,616 SUDAH TERIMA VAKSIN COVID-19
99,616 SUDAH TERIMA VAKSIN COVID-19
KUALA LUMPUR: Jumlah penerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech di Malaysia kini menghampiri 100,000 orang, setakat semalam.
Data daripada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham di Facebook, hari ini menunjukkan sejumlah 99,616 penerima dalam kalangan petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin berkenaan.
Jumlah itu berjaya dicapai hanya dalam tempoh sembilan hari sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilancarkan pada 24 Februari lalu, apabila Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin berkenaan.
Data agihan vaksin mengikut negeri itu menunjukkan individu di Sarawak paling ramai menerima vaksin itu setakat ini dengan 14,134 dos, disusuli Kuala Lumpur (10,970) dan Kelantan (10,941).
Perak pula sudah memberikan 8,844 dos vaksin Pfizer-BioNTech, selain Pahang (8,546), Johor (8,470), Selangor (6,483), Kedah (5,171) dan Terengganu (4,570).
Selain itu, Negeri Sembilan sudah memberikan 4,332 dos vaksin, manakala Pulau Pinang dengan 4,034, Melaka (3,740), Sabah (3,492), Putrajaya (2,054), Labuan (1,939) dan Perlis (1,896).
Malaysia kini berada dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, yang menyasarkan untuk memvaksin kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan, antara hujung Februari hinga April depan, lapor BH Online.
Fasa 2 imunisasi, yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan bermula April hingga Ogos depan, untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.
Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.